
TULAR sebuah kejadian berhubung tindakan dua orang wanita yang melarikan telefon milik pengunjung sebuah pasar raya sekitar Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Insiden tersebut dikongsikan pengguna Threads, Nurul Shaidah dengan menyatakan peranti berkenaan adalah milik ibunya yang tidak menyedari ia tercicir ketika sedang membeli-belah.
Dalam video pertama dimuat naik, wanita terbabit sedang berbincang dengan juruwang ketika membuat pembayaran sehingga tidak menyedari telefonnya tertinggal di kaunter.
BACA LAGI: Penduduk di Kepong susah hati tiada 'line' telefon, internet angkara penyangak kabel
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita terkedu telefon pintar 'disambar' ikan ketika naiki bot
Gajet itu hanya disedari tercicir oleh petugas di pasar raya terbabit yang bertanya mengenai telefon itu kepada dua pengunjung wanita yang seperti baru sahaja selesai membuat pembayaran.
Meskipun peranti berkenaan bukanlah milik mereka, salah seorang daripadanya yang memakai baju kelabu pantas mengambilnya sebelum menyerahkan kepada rakannya itu.
Kejadian sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan dengan pemilik Threads itu mahu orang ramai menghulurkan sebarang maklumat berhubung kes kecurian itu.
"Saya hendak minta tolong sesiapa kenal tidak perempuan baju hitam dan kelabu yang tak bertudung? Kes semalam (Sabtu), mereka ambil telefon ibu saya. Memang telefon itu tidak mahal, tetapi tolong pulangkan.
"Ini kerana ia mengandungi pelbagai isi dan maklumat penting, termasuk pesanan pelanggan. Saya dah cuba hubungi banyak kali, tetapi mereka sudah matikan telefon itu," tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Pengguna media sosial tersebut turut berkongsi perbincangan dibuat bersama petugas di pasar raya itu dikenali sebagai Mustafa yang sudah berhubung dengan juruwang terlibat.
Jelas pekerja itu, kedua-dua wanita terbabit menyatakan telefon bimbit itu adalah milik mereka, namun tiada sebarang perkongsian dibuat sama ada peranti terbabit sudah dikembalikan atau sebaliknya.
Meskipun pemilik gajet itu boleh dipersalahkan atas kecuaian sendiri, tindakan dua wanita itu adalah salah kerana mengambil barangan milik orang lain yang jelas salah di sisi undang-undang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram