
SEORANG wanita melalui detik luar jangka ketika menaiki bot apabila seekor ikan tiba-tiba melompat dari dalam laut dan menyambar telefonnya sebelum ia terjatuh ke dalam air.
Kejadian aneh itu kembali tular di media sosial ketika Neressa Ursal Maquilan sedang menikmati perjalanan menaiki bot di pesisir pantai pulau Leyte, Filipina.
Menerusi video yang tular itu, ketika sedang bergambar, seekor ikan sepanjang 10 inci tiba-tiba muncul dari sebelah bot, melompat lalu menyentuh telefon yang dipegangnya, menyebabkan peranti itu terpelanting ke laut.
BACA LAGI: [VIDEO] Curi beg jemaah wanita ketika sedang sujud, polis Kota Tinggi buru suspek lelaki
Kejadian tersebut sempat dirakam oleh sepupunya, Cha Ursal yang turut berada dalam bot bersama ahli keluarga lain dalam perjalanan ke tanah perkuburan bagi menziarahi pusara bapa saudara mereka yang telah meninggal dunia.
Menurut Cha, mereka segera meminta bantuan pemandu bot untuk menyelam dan mencari telefon tersebut, namun usaha itu gagal apabila telefon tidak dijumpai di dasar laut.
Bagaimanapun, kejadian itu mendapat ‘plot twist’ apabila seorang penduduk tempatan menemui telefon berkenaan di pesisir pantai ketika air laut surut pada waktu malam.
“Pada malam itu, air laut surut. Secara tidak disangka, seseorang menjumpai telefon tersebut terdampar di pesisir pantai dan memulangkannya kepada kami. Namun, ia sudah rosak akibat terkena air,” kata Cha.
Walaupun telefon tersebut tidak dapat digunakan semula, Neressa menerima sebuah telefon baharu daripada kakak iparnya.
“Ia seakan satu kejadian yang membawa rahmat. Walaupun pelik, kami rasa sangat bertuah kerana telefon itu dijumpai semula, sesuatu yang jarang berlaku,” tambah Cha. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram