Kes serangan seksual pelajar di Melaka: Selebriti wanita gesa tanggungjawab bersama lindungi anak-anak, jangan hanya bergantung pihak sekolah


  • Bonda
  • Ahad, 12 Okt 2025

(Gambar dari kiri) Ika Nabella, Ummi Nazeera dan Alicia Amin antara selebriti wanita tanah air yang menyuarakan keprihatinan terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.

KES serangan seksual membabitkan seorang pelajar perempuan di Melaka baru-baru ini bukan sahaja mengundang rasa marah, tetapi juga kesedihan mendalam dalam kalangan masyarakat.

Detik tragis itu turut mendapat perhatian selebriti wanita tanah air yang menzahirkan rasa simpati serta menyeru agar isu keselamatan anak-anak dilihat dari sudut kemanusiaan dan tanggungjawab bersama, bukan sekadar dibebankan kepada sekolah atau pihak berkuasa.

Dalam menyuarakan keprihatinan masing-masing, beberapa artis tanah air menegaskan bahawa penyelesaian kepada masalah berkenaan tidak boleh hanya disandarkan kepada sekolah atau pihak berkuasa semata-mata.

BACA LAGI: ‘Precocious puberty’ makin ramai, doktor pesan ibu bapa jangan bagi anak belum akil baligh pakai makeup

BACA LAGI: Berpegang pada prinsip ‘dilarang menyerah’, Norshafina wanita pertama raih gelaran Perajurit Muda Terbaik TUDM

Pelakon, Ika Nabella berpandangan, tanggungjawab mendidik anak-anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu guru. Sebaliknya, ibu bapa dan masyarakat perlu lebih aktif membentuk disiplin serta nilai moral generasi muda.

"Kes jenayah di sekolah semakin menjadi-jadi. Buli, bunuh dan kini cabul, malah dirakam pula.

"Sebagai ibu bapa, apa lagi yang mampu kita lakukan untuk mengelakkannya? Kita tidak boleh hanya bergantung kepada guru, apatah lagi dalam keadaan guru pun tidak dibenarkan menggunakan rotan seperti dahulu," kata ibu kepada seorang anak itu.

Sementara itu, Ummi Nazeera yang juga pelakon dan ibu kepada dua orang anak menzahirkan rasa simpati terhadap nasib mangsa dan menekankan bahawa setiap anak berhak berasa selamat di persekitaran tempat mereka belajar.

"Sekolah seharusnya tempat yang selamat. Anak kecil itu akan menanggung trauma sepanjang hidupnya.

"Pelaku mesti menerima hukuman yang setimpal," jelas beliau dalam hantaran di Threadsnya.

Dalam hantarannya yang lain, beliau turut berkongsi infografik bertajuk Good Touch, Bad Touch yang menyeru ibu bapa mendidik anak mengenai sempadan fizikal dan keselamatan diri.

"Kita perlu ajar anak tentang sentuhan baik dan sentuhan tidak baik. Kesedaran ialah langkah pertama kepada perlindungan," tegasnya.

Sementara itu, pelakon dan model, Alicia Amin turut meluahkan rasa sedih terhadap nasib mangsa serta menyeru agar masyarakat lebih prihatin dan tegas dalam menangani jenayah seksual membabitkan remaja.

"Kes penderaan seksual di Melaka benar-benar mematahkan hati saya. Kita perlu melakukan yang lebih baik untuk melindungi gadis muda," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram