Tambah CCTV antara inisiatif kerajaan atasi masalah buli secara total


  • Massa
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Kerajaan akan menggunakan seluruh jentera kementerian bagi membendung gejala buli secara menyeluruh. — Gambar hiasan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan buli sebagai jenayah senyap yang perlu dihentikan segera.

Beliau menegaskan gejala buli di sekolah, universiti, tempat kerja dan alam maya bukan sahaja membunuh potensi individu, malah menyebabkan trauma berkekalan serta meragut nyawa.

“Kita mesti putuskan rantaian kezaliman ini sampai ke akar dengan didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Madani 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan bersetuju membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 di Dewan Rakyat selain mengumpul seluruh kekuatan serta tenaga jentera merentasi kementerian bagi mengekang gejala buli.

Selain itu, Anwar berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (SAFE) sebagai rangka menyeluruh pencegahan buli di sekolah.

"Ini termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang.

"Kementerian Pengajian Tinggi juga meningkatkan keselamatan mahasiswa di kampus dengan menambah CCTV dan menganjurkan program sahsiah serta kepimpinan sebagai bentuk pencegahan buli dan ragging.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok.

"Kementerian Komunikasi melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan tahap kesedaran siber dalam kalangan murid sekolah dan Rakan Muda menggerakkan ikhtiar “Lawan Buli” dalam kalangan belia di akar umbi," kata perdana menteri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram