
SEORANG lelaki kerugian kira-kira RM16,000 apabila motosikal Yamaha NVX yang baru dibeli empat hari lalu hilang dipercayai dicuri dalam kejadian di Flat Taman Batu, Kepong, Kuala Lumpur.
Turut hilang dalam kejadian kecurian pada awal pagi Ahad (12 Oktober) itu ialah sebuah lagi motor jenis Yamaha 135LC Fi V8 kepunyaan jirannya yang diparkir berdekatan motor mangsa.
Mangsa, Muhammad Syazman Fitri Najib memberitahu, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) flat, kecurian berlaku kira-kira pukul 5 pagi ketika kebanyakan penghuni flat sedang tidur.
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan sekumpulan budak dipercayai terlibat kes kecurian motor di Flat Taman Batu, Kepong.
"Saya menyedari motor hilang pada pukul 2 petang ketika mahu keluar membeli barang dapur.
“Kami dua-dua buat laporan polis bersama sebab kejadian berlaku serentak. Motor saya baru empat hari, motor kawan tu pun baru lima ke enam bulan pakai,” katanya kepada Majoriti.
Mangsa yang bekerja sebagai juruteknik mendakwa kejadian itu berkemungkinan dilakukan pencuri yang mengupah sekumpulan kanak-kanak dipercayai warga asing untuk 'menjaga kawasan' ketika kecurian.
Rakaman CCTV menunjukkan sekumpulan empat orang budak mengambil tempat masing-masing dengan ada yang duduk di kaki lima, berdiri di sebalik tembok dan pura-pura merayau.
“Tak logik budak-budak turun main pukul 5 pagi. Ada jiran pun dakwa pernah nampak geng budak-budak tu selalu merayau kawasan flat,” katanya lagi.
Rakaman CCTV menunjukkan suspek tiba di lokasi dengan menaiki sebuah kereta dengan nombor pendaftaran DDK 3813 sebelum menurunkan rakan jenayah yang siap mengenakan topi keledar di kawasan terbabit.
"Saya rasa dia siap-siap turun kereta pakai helmet untuk mengaburi penduduk selain menyembunyikan identiti.
"Kereta tersebut dikatakan kelihatan di pasar tani Greenwood," katanya.
Difahamkan, polis sudah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram