Murid Tahun 4 maut dekat sekolah di Senawang: Takiyuddin dakwa miliki maklumat


  • Kes
  • Isnin, 13 Okt 2025

Suasana di bilik forensik ketika hari kejadian pada awal Oktober lalu.

AHLI Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin mendakwa beliau memiliki maklumat berhubung kes kematian seorang murid Tahun Empat di sebuah sekolah dekat Senawang, Negeri Sembilan awal Oktober lalu.

Menurut laporan Berita Harian, Setiausaha Agung Pas tersebut berkata demikian ketika mencelah perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

"Satu kejadian kematian pelajar berusia 10 tahun, pelajar Tahun Empat di sebuah sekolah rendah di Negeri Sembilan. Saya dapat maklumat, pihak polis mendapati murid ini meninggal dunia di klinik setelah dibawa.

BACA LAGI: Tambah CCTV antara inisiatif kerajaan atasi masalah buli secara total

BACA LAGI: KIS: MCMC ingatkan risiko ancaman internet, had umur minimum akaun media sosial pelajar sekolah

Takiyuddin mendakwa murid itu ditemukan tergantung dengan skaf pengakap.

"Siasatan dibuat di bawah Seksyen 503c iaitu kes buli. Saya mahu siasatan dibuat (berdasarkan) maklumat saya dapati (bahawa) pelajar ini ditemui mati atau ditemui dalam keadaan tergantung dengan skaf pengakap digunakan sebagai tali gantung," katanya.

Takiyuddin mendakwa beliau memperoleh maklumat itu, namun tidak mendedahkan sumber berkenaan dengan menjelaskan skaf berkenaan tersangkut di penyangkut baju tandas terbabit.

Malah, tambahnya lagi, guru di sekolah terbabit kemudian menurunkan murid berkenaan sebelum melakukan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang bagaimanapun tidak berhasil.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa guru disiplin ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan, namun doktor yang merawat mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad pada 4 Oktober lalu berkata, keterangan dari 35 individu terdiri daripada pelajar, guru, petugas sekolah, doktor serta keluarga sudah direkodkan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut dilaporkan berkata, kementeriannya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes itu kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram