[VIDEO] Lelaki maut ditikam depan ayah di Senawang, suspek direman hingga Isnin


  • Podium
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Mangsa meninggal dunia dalam kejadian berkenaan dengan kes dipercayai berlaku di hadapan bapanya.

SEORANG lelaki berusia 28 tahun meninggal dunia selepas ditakam di dada dalam kejadian di Taman Seri Pagi, Senawang, Negeri Sembilan pada Isnin.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Hatta Che Din berkata, suspek terlibat sudah ditahan dengan sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut dirampas.

Jelasnya, sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam pada Isnin berhubung suspek berusia 31 tahun berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas Senawang: Pemandu Proton Satria direman, negatif dadah — Polis

BACA LAGI: Remaja 17 tahun didakwa langgar mati 3 mangsa di Senawang mengaku tak bersalah

"Pihak Polis Daerah Seremban sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian bunuh. Kira-kira pukul 6.50 petang kami (Isnin) terima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan kejadian ini.

"Makluman awal mendapati seorang lelaki ditikam di Taman Sri Pagi. Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelasnya lagi, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 7.28 petang oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

"Suspek dikatakan menikam di bahagian dada mangsa menggunakan pisau sehingga menyebabkan kematian. Seterusnya pihak polis berjaya menangkap suspek dengan bantuan orang awam iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun serta merampas sebilah pisau," katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 petang oleh pegawai perubatan.

"Permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini (Selasa) dan dibenarkan reman sehingga 18 Ogos depan. Mengenai motif kejadian, pihak kami masih dalam siasatan," katanya.

Kes tersebut turut menerima perhatian pengguna media sosial, termasuk pemilik Facebook Rizal Hakimm yang menyatakan mangsa dibunuh di hadapan bapanya.

"Katanya tepat-tepat (pisau) kena di dada. Kebetulan ayahnya ada di situ, menjerit ayahnya dan didengari jiran-jiran. Yang saya baca tadi, (suspek) kenalan si mangsa juga," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram