KIS: MCMC ingatkan risiko ancaman internet, had umur minimum akaun media sosial pelajar sekolah


  • Massa
  • Khamis, 09 Okt 2025

KIS merupakan kempen diperkenalkan untuk mendedahkan orang ramai mengenai pentingnya menggunakan Internet secara selamat.

TIMBALAN Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching merasmikan Program Kempen Internet Selamat (KIS) peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis.

Program tersebut merupakan kesinambungan KIS yang dilaksanakan sebelum ini melibatkan pelajar daripada 479 buah sekolah rendah dan menengah di negeri berkenaan.

Ia juga adalah kolaborasi bersama antara kerajaan, agensi negeri serta rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

BACA LAGI: Kempen Internet Selamat bantu pelajar di Keningau fahami risiko siber

BACA LAGI: MCMC lancar Kempen Internet Selamat, tangani masalah buli siber dan penipuan online

Nie Ching sebagai Timbalan Menteri Komunikasi hadir merasmikan majlis terbabit.

Seramai 300 orang pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 melibatkan 31 sekolah rendah sekitar Seremban menyertai KIS peringkat negeri itu dan melengkapkan penyertaan pelajar dari seluruh sekolah di Negeri Sembilan.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh keselamatan siber negara, KIS dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh yang menyasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah. 

Kempen tersebut merangkumi sesi taklimat dan aktiviti interaktif menggunakan modul khas yang direka khusus untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap penggunaan Internet secara selamat dan beretika.

Penyertaan agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), MCMC serta NADI turut menyerikan lagi program tersebut menerusi reruai pameran yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai fungsi aplikasi Internet dan risiko ancaman dalam talian.

Program tersebut diadakan di SJK (C) Bandar Sri Sendayan pada Khamis.

Antara maklumat penting yang disampaikan termasuklah had umur minimum 13 tahun ke atas bagi pemilikan akaun media sosial, selaras dengan garis panduan keselamatan digital antarabangsa.

Sambutan yang diterima daripada pelajar dan guru amat memberangsangkan kerana masing-masing menunjukkan tahap penglibatan yang tinggi dan berjaya memahami asas literasi digital.

Di samping itu, peserta berpeluang mengenal pasti risiko seperti buli siber dan pengantunan (grooming) serta mempelajari kaedah penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab melalui aktiviti permainan interaktif disediakan.

Kempen itu akan diteruskan secara berperingkat di sekolah seluruh negara sebagai usaha memperkasakan pelajar dan pendidik dalam menghadapi cabaran dunia digital. 

Kementerian turut komited dalam memupuk kesedaran awal serta membudayakan penggunaan Internet yang positif, selamat dan bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda demi kesejahteraan digital negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram