KWSP laksana caruman mandatori untuk pekerja asing bermula 2 Oktober


  • Massa
  • Rabu, 01 Okt 2025

Majikan yang belum berdaftar dengan KWSP dikehendaki mendaftarkan syarikat mereka bagi memastikan pematuhan dan peralihan yang lancar. — Gambar hiasan

CARUMAN mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja bukan warganegara Malaysia akan mula dikuatkuasakan bermula gaji Oktober 2025, iaitu bagi caruman bulan November 2025.

Menurut dasar baharu tersebut, kadar caruman bagi pekerja dan majikan ditetapkan masing-masing pada dua peratus daripada gaji bulanan.

Pelaksanaan caruman berkenaan merangkumi semua pekerja bukan warganegara yang bekerja di Malaysia, kecuali orang gaji domestik dan mestilah mempunyai pasport serta pas kerja yang sah daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

BACA LAGI: [VIDEO] Pengawal keselamatan di Kuala Lipis seolah-olah dianiaya majikan, gaji minimum dan caruman KWSP tak dibayar

BACA LAGI: [VIDEO] Tuan rumah tak gentar saman malu 'penyewa dari neraka' selagi tunggakan belum selesai

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelaksanaan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia merupakan satu langkah penting bagi KWSP dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.

“Langkah ini menangani jurang dalam liputan keselamatan sosial dengan menyokong amalan pasaran buruh yang lebih adil serta menyediakan akses kepada simpanan persaraan untuk pekerja daripada semua kewarganegaraan,” katanya dalam satu kenyataan.

KWSP telah menjalankan pelbagai sesi libat urus dengan kementerian, agensi kerajaan, wakil majikan dan pekerja asing, serta pertubuhan bukan kerajaan untuk memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar.

Kadar caruman bagi pekerja dan majikan ditetapkan masing-masing pada dua peratus daripada gaji bulanan. Gambar hiasan

Selain itu, KWSP juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi meningkatkan integrasi data dan sistem, termasuk perkongsian maklumat pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian secara selamat.

Inisiatif ini meningkatkan kapasiti dan keberkesanan dalam melaksanakan caruman wajib bagi pekerja bukan warganegara Malaysia.

Majikan yang belum berdaftar dengan KWSP dikehendaki mendaftarkan syarikat mereka bagi memastikan pematuhan dan peralihan yang lancar.

Pendaftaran majikan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi KWSP atau di mana-mana pejabat KWSP di seluruh negara.

Pendaftaran pekerja bukan warganegara Malaysia sebagai ahli KWSP yang melibatkan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian dilaksanakan secara automatik tanpa perlu hadir ke pejabat KWSP.

Majikan boleh menyemak secara dalam talian melalui i-Akaun (Majikan) untuk memastikan pendaftaran dilaksanakan dengan tepat.

Bagi pemegang pas lain, pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dilaksanakan melalui pejabat KWSP seperti biasa.

Pekerja disarankan melengkapkan pendaftaran sebagai ahli KWSP dengan membuat pengemaskinian rekod cap ibu jari mulai Januari 2026 di pejabat KWSP berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram