
KITA sering melihat bagaimana seorang penunggang motosikal tampil membantu pengguna jalan raya, terutamanya pengguna kenderaan dua roda itu ketika mengalami kesusahan.
Meskipun tidak mengenali antara satu sama lain, bantuan dihulurkan membuktikan keakraban kerana masing-masing tidak sanggup melihat nasib buruk dialami pengguna lain.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan di laman Facebook Mohamad Nasri Mhd Nasir memaparkan seorang penunggang motosikal berhenti sekitar Jambatan Pulau Pinang untuk membantu individu lain tidak dikenali.
BACA LAGI: [VIDEO] Susah payah atas jalan raya, 'pilot darat' baik hati bantu rider pikul motor rosak
BACA LAGI: Tragedi tunda motosikal rosak, penunggang motor maut rempuh tiang lampu di JB
Video berdurasi seminit 23 saat tersebut memaparkan seorang penunggang motosikal berhenti di bahu jalan sementara motosikal seperti sedang mengalami kerosakan.
Menyedari risiko dialami pengguna jalan raya terbabit, pemilik video itu kemudian memberhentikan motosikalnya sebelum bertanya keadaan dan kerosakan dihadapi.
"Pagi ini (Khamis) cuaca hujan dan nampak ada sebiji motosikal hidupkan lampu kecemasan. Tanya apa masalah dan dia kata rantai sangkut dan saya tolong perbetulkan. Jalan sekejap tetapi rosak semula.
"Rantai dah bengkok, tak boleh buat apa-apa selain perlu buka dan buang. Tolak sampai kedai berhampiran jalan tempat kerja. Alhamdulillah, dapat bantu orang dalam kesusahan rasa bahagia dan tenang," tulisnya.
Pemilik akaun Facebook itu menggunakan kaedah 'towing' yang sudah tentu memudahkan dalam usaha membawa motosikal rosak itu ke bengkel dan diperbetulkan.
Malah, ketika sampai di bengkel dimaksudkan, perakam video itu berkeras untuk menolak pemberian wang ringgit daripada pemilik motosikal rosak tersebut yang menceritakan keikhlasannya.
Sikap ditonjolkan Mohamad Nasri wajar dijadikan ikutan pengguna jalan raya lain yang perlu bersifat ringan tulang dalam membantu mana-mana individu mengalami kesusahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram