SEORANG penunggang motosikal maut selepas kenderaannya yang ditunda akibat kerosakan akhirnya merempuh tiang lampu di Jalan Masai, Kong Kong, Johor.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 10.45 pagi Ahad membabitkan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan Honda Wave.
Sohaimi berkata, kemalangan dipercayai berlaku sewaktu Honda Wave ditunggang lelaki berusia 36 tahun mengalami kerosakan.
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal di tiang telekomunikasi, juruteknik maut tersentuh kabel berkuasa tinggi di Jawa Timur
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara berebut angpau, 4 maut sesak nafas kena himpit di Kemboja
"Motosikal mangsa kemudian ditolak menggunakan kaki kanan oleh lelaki berusia 52 tahun yang menunggang Yamaha 135 LC dari arah Masai ke Kong Kong.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kedua-duanya telah hilang kawalan lalu mangsa merempuh tiang lampu manakala seorang lagi penunggang terbabas di bahu kiri jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kedua-dua penunggang dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail dengan ambulans.
Sohaimi berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala pada pukul 3 petang ketika dirawat.
Tambahnya, seorang lagi penunggang motosikal Yamaha 135 LC pula mengalami kecederaan ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
ACP Sohaimi turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan keselamatan dan undang-undang jalan raya.
Saksi yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram