PENUNGGANG basikal berusia 49 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari jejantas motosikal setinggi enam meter di kawasan Jambatan Kampung Pinang Seberang, Kamunting dekat Taiping, Perak pada Khamis.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar pukul 2.10 petang.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting digerakkan ke lokasi kejadian.
BACA LAGI: Hampir seminggu bertarung nyawa, budak parah ditukul penagih dadah di Bachok meninggal dunia
“Ketika tiba di lokasi, bomba mendapati mangsa, lelaki tersebut dipercayai terjatuh ke kawasan landasan kereta api dan mengalami kecederaan parah selepas menghentam bongkah batu.
“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ketua operasi melakukan penilaian situasi dan seterusnya mengarahkan anggota menguruskan mangsa dengan menggunakan pengusung.
Shazlean berkata, mangsa diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 3.30 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
