
ISU gaji rendah guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kembali hangat di Dewan Rakyat pada Rabu selepas perkara itu dibahaskan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu menegaskan kerajaan perlu menilai gaji dan kualiti pekerja dalam institusi yang dibiayai kerajaan sebelum membangkitkan isu sekolah lain.
Menurutnya, setiap penggal, isu gaji guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sering dipersoalkan, namun, perkara sama berlaku di institusi kerajaan lain.
BACA LAGI: Anak Rafizi Ramli dicucuk jarum suntikan dalam serangan misteri di Putrajaya
BACA LAGI: Lebih 30 tahun dahulu, Anwar Ibrahim pernah arah sekolah ditutup, tukar pengetua terpalit kes buli
"Setiap kali penggal (Parlimen), mesti akan cakap-cakap, 'oh, kita tidak bayar cikgu-cikgu dekat PASTI secara cukup. Sebelum kita cakap tentang sekolah lain, lihat institusi kerajaan itu sendiri.
“Adakah kita bayar pekerja Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) atau pembantu tadika dengan gaji minimum? Tidak.
"Ketua kampung? Tidak juga,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13.
Syed Saddiq menegaskan, fokus sepatutnya diberikan kepada agensi berkenaan bagi memastikan kualitinya baik dan kosnya rendah atau percuma.
Ini supaya semua anak daripada keluarga kurang berkemampuan dapat mengakses prasekolah secara percuma.
"Daripada kita hanya merungut, apabila kamu berada dalam kerajaan, apa yang boleh dilakukan adalah untuk memastikan bahawa institusi yang dibiayai oleh kerajaan, kualitinya begitu baik, kosnya rendah atau percuma supaya akhirnya semua anak-anak daripada keluarga susah boleh akses prasekolah yang percuma," katanya.
Pada Isnin, media melaporkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad membangkitkan dakwaan guru PASTI hanya dibayar RM600 hingga RM700 sebulan dengan alasan status sukarelawan, sekali gus tidak tertakluk kepada gaji minimum.
Nik Nazmi berkata, alasan itu tidak wajar dan bercanggah dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025.
Hal itu kerana semua pekerjaan yang memenuhi definisi pekerja tetap atau separuh masa perlu dibayar mengikut kadar gaji minimum selain layak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram