
SEMUA pekerja gig, e-hailing dan p-hailing akan menerima bantuan caruman padanan sebanyak RM600 setahun menerusi skim i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dalam pembentangan Belanjawan MADANI 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, caruman sepadan itu boleh mencecah RM6,000 seumur hidup.
Dalam masa yang sama, caruman sehingga RM500 setahun atau RM5,000 seumur hidup turut diteruskan buat pekerja informal atau mereka yang bekerja sendiri.
BACA LAGI: Pendapatan terjejas, enam persatuan bantah RUU Pekerja Gig 2025 angkara 6 faktor
BACA LAGI: Belanjawan MADANI 2026: Peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion, terap ilmu digital AI
Akta Pekerja Gig 2025 mewajibkan caruman Perkeso terhadap semua pekerja.
"Bagi melengkapkan perlindungan sosial dan menggalakkan caruman KWSP, pekerja gig, e-hailing dan p-hailing, akan diberi insentif caruman padanan sehingga RM600 setahun atau RM6,000 seumur hidup di bawah skim i-Saraan Plus.
"Skim i-Saraan juga diteruskan untuk pekerja informal atau bekerja sendiri yang lain dengan caruman padanan sehingga RM500 setahun atau RM5,000 seumur hidup," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 pada Jumaat.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menanggung sehingga 70 peratus caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri pekerja gig di sektor yang belum dimandatorikan yang pertama kali mendaftar manakala insentif 50 peratus bagi tahun kedua.
Ia disebabkan dalam Akta Pekerja Gig 2025, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) adalah diwajibkan.
Belanjawan kali ini merupakan yang keempat dibentangkan beliau di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram