
RANG Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 menerima respons pelbagai daripada kesemua pihak, termasuk enam persatuan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing yang sebulat suara menggesa Ahli Parlimen menolaknya.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Selasa, mereka berpandangan RUU yang pertama kali dibentangkan pada Isnin itu hanya akan menjejaskan mata pencarian puluhan pekerja dalam industri terbabit.
Persatuan dimaksudkan ialah Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Persatuan Penghantar Dan Penghantar E-Hailing Sabah, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak serta Persatuan Rakan Penghantar Kedah.
"Tanggapan bahawa RUU itu adalah perisai untuk pekerja gig adalah kosmetik semata-mata, sebaliknya ia akan memberi kesan kepada mata pencarian puluhan ribu pemandu e-hailing dan p-hailing.
"Kami yang terdiri daripada 10,000 ahli seluruh negara dan terlibat secara langsung dalam sektor ehailing dan phailing menolak keras RUU ini kerana ia tidak realistik, dan hanya menguntungkan segelintir pemain besar," tulisnya menerusi satu kenyataan bersama.
Pada Isnin, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, RUU tersebut digubal selepas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementeriannya merangka mekanisme perlindungan khusus buat sektor berkenaan.
Dia turut menyeru semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong usul tersebut demi masa depan lebih baik untuk pekerja gig kerana ia memperuntukkan perlindungan hak pekerja, kewajipan entiti kontrak dan beberapa komponen lain.
Steven Sim (tengah) menyatakan RUU Pekerja Gig 2025 dibuat bagi membela nasib hampir 1.2 juta pekerja gig dalam negara.
Dalam kenyataan berkenaan, keenam-enam persatuan itu menggariskan enam sebab mereka menolak RUU terbabit dengan menyatakan definisi pekerja gig adalah longgar selain beranggapan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah bersifat pengkhianatan.
Di samping itu, majlis konsultatif yang bakal ditubuhkan tidak membawa kesan kerana keanggotaannya masih belum dipastikan dengan setiap ahli dikhuatiri tidak mengangkat suara pekerja e-hailing dan p-hailing.
Kenyataan tersebut turut menyertakan contoh bagaimana pengenalan undang-undang di negara luar seperti Sepanyol dan India menyebabkan industri pekerja gig terjejas.
"Desakan dan gesaan kami kepada Ahli Parlimen agar meneliti dahulu RUU ini kerana ia akan membunuh pekerja-pekerja gig. Persoalannya, siapakah individu-individu yang berada di dalam Jawatankuasa Kerja Penggubalan RUU Pekerja Gig?
Pengenalan undang-undang tersebut dikhuatiri memberi kesan terhadap pendapatan pekerja p-hailing dan e-hailing.
"Pendapatan pemandu dan penghantar jika RUU diluluskan tidak akan menunjukkan perubahan, malah akan menurun. Secara tidak langsung, vendor juga akan terkesan," tulisnya.
Gabungan persatuan itu turut menggesa agar pembentangan seterusnya di Parlimen tidak diteruskan selain menjalankan Penilaian Impak Peraturan (RIA) seperti dasar negara sendiri.
Selain itu, mereka turut mengharapkan mandat penuh diberikan kepada Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebelum sebarang undang-undang diluluskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram