Tiga 'harsh truth' di sebalik populariti Semporna, banyak kena perbaiki demi ekonomi pelancongan tempatan


  • Bisnes
  • Khamis, 09 Okt 2025

Pemandangan sampah terapung yang menjijikkan di sebalik kisah keindahan Semporna merosakkan reputasi destinasi itu di mata pelancong asing dan tempatan.

PASTI ramai yang membayangkan Semporna di Sabah sebagai destinasi percutian indah, magikal dan mempesonakan.

Di media sosial, lokasi itu seolah-olah syurga tropika di Kepulauan Borneo, namun, realitinya mungkin tidak seindah yang disangka.

Di Instagram, seorang pencipta kandungan, Sandra Hanayu berkongsi pengalaman mengecewakan ketika dia bercuti di Semporna baru-baru ini.

Baginya, terdapat tiga realiti pahit tentang Semporna yang perlu diberi perhatian agar ekonomi pelancongan tempatan dapat diperbaiki sebelum terlambat.

BACA LAGI: Langkawi sepi, resort mewah pun lengang, ramai 'lari' ke Terengganu dan Hatyai

BACA LAGI: Kos melancong mahal atau murah bukan isu tapi Langkawi tak berbaloi, Semporna bukti ramai sanggup bayar 'value'

Community members unloading waste at the Semporna jetty after a collection drive on Mabul Island, as part of the district's cleanliness initiative led by locals.

Penduduk tempatan memunggah sisa buangan di jeti Semporna selepas program kutipan sampah di Pulau Mabul, sebagai sebahagian daripada inisiatif kebersihan daerah. — The Star

1. Kebersihan yang membimbangkan

Menurut Sandra Hanayu, perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau, kira-kira dua jam menaiki kereta ke Jeti Semporna dikejutkan dengan pemandangan yang cukup menjijikkan.

Kawasan jeti yang menjadi pintu masuk utama pelancong ke pulau-pulau sekitar Semporna sangat kotor dan berselerak dengan sampah.

"Saya tak pernah melihat keadaan seteruk itu. Malah, pekerja water chalet di tempat saya bercuti tergamak buang sisa makanan dan botol minuman terus ke laut. Melihatnya dengan mata sendiri benar-benar menyedihkan," ceritanya.

Pulau-pulau seperti Mabul dan Kapalai memang indah, tetapi laluan menuju ke sana memberi imej yang sangat berbeza yang disifatkan amat memalukan.

2. Risiko ditipu atau ‘scam’

Semporna juga terkenal dengan risiko penipuan pelancong dan perkara itu dialami sendiri Sandra Hanayu yang turut menjadi mangsa.

Selain kena scam, dia juga kecewa kerana ada segelintir budak kecil mengambil kesempatan menjual air kelapa pada harga tidak munasabah. 

 

"Pada awalnya mereka sebut RM1 sebiji, tetapi lepas membayar dengan not RM50 untuk dua biji air kelapa, harga tiba-tiba berubah jadi RM10!," katanya.

Walaupun kelihatan remeh, perkara sedemikian merosakkan pengalaman pelancong dan menjejaskan reputasi kawasan tersebut.

3. Kanak-kanak tanpa dokumen

Satu lagi realiti yang tidak boleh diabaikan ialah kewujudan ramai kanak-kanak tanpa dokumen sah di sekitar Jeti Semporna.

Mereka sering menghampiri pelancong untuk meminta wang, dan jika anda sedekah kepada seorang budak tiba-tiba lebih ramai akan datang mengerumuni anda.

Situasi itu membuatkan ramai pelancong tidak selesa, tetapi pada masa sama, sukar untuk menyalahkan mereka kerana ia antara lain berpunca daripada desakan hidup.

Kebanyakan kanak-kanak itu dipercayai lahir di perairan antara Malaysia dan Filipina sekali gus tidak diiktiraf oleh mana-mana negara dan hidup dalam keadaan serba kekurangan. 

Perkara berkenaan merupakan satu masalah sosial yang masih belum menemui penyelesaian.

Semporna mempunyai potensi pelancongan yang luar biasa dengan pantainya yang cantik, air jernih dan pemandangan menakjubkan.

Begitu pun kebersihan, keselamatan dan pengurusan komuniti tempatan perlu diberi perhatian serius demi kelangsungan ekonomi pelancongan tempatan.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram