Langkawi sepi, resort mewah pun lengang, ramai 'lari' ke Terengganu dan Hatyai


  • Bisnes
  • Selasa, 16 Sep 2025

Suasana destinasi popular di Langkawi lengang daripada kunjungan pelancong. — The Star

SEMPADAN Malaysia-Thailand sesak dengan kunjungan ribuan pelancong sempena cuti hujung minggu panjang dan cuti sekolah.

Namun, suasana berbeza di Langkawi apabila kadar penginapan hotel di pulau peranginan itu dilaporkan merosot di bawah 60 peratus.

Situasi itu berulang seperti tahun lalu, menandakan minat terhadap Langkawi masih belum pulih, kata Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Kedah dan Perlis, Eugene Dass.

BACA LAGI: Time Out iktiraf George Town syurga 'street food' terbaik di Asia

BACA LAGI: Pelancong dari Malaysia paling ramai guna tren laju Whoosh hubungkan Jakarta-Bandung

Kadar penginapan hotel di Langkawi semasa cuti sekolah dan cuti panjang sempena Hari Malaysia masih rendah. — The Star

Beliau berkata, pelancong domestik dilihat terus memilih destinasi lain seperti Hatyai, kemungkinan besar kerana ketiadaan tarikan baharu di pulau berkenaan.

“Selain itu, masalah logistik masih belum diselesaikan, termasuk jadual feri yang tidak menentu, tambang penerbangan yang tinggi dan sambungan penerbangan yang terhad,” katanya.

Eugene menggesa pihak berkuasa meningkatkan promosi Langkawi serta menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya feri.

Seorang pengunjung, Ng Su-Ann, yang bercuti bersama suaminya di Langkawi, turut terkejut melihat suasana perniagaan yang perlahan di hotel tempat mereka menginap.

“Saya sangka pulau ini akan penuh dengan pelancong sempena cuti Hari Malaysia dan cuti sekolah, tetapi ternyata agak sunyi,” kata pengunjung dari Pulau Pinang itu.

Ng berkata, tiada tarikan baharu ditawarkan, hanya kedai bebas cukai yang masih menarik sedikit kunjungan.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Azmi Ismail, 45, berkata, suasana destinasi popular di Langkawi lengang daripada kunjungan pelancong.

“Saya rasa ramai rakyat Malaysia tidak ke Langkawi kerana kos semakin meningkat. Mereka lebih memilih destinasi lebih mampu milik seperti Terengganu atau Hatyai,” katanya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Kedah, Mohd Firdaus Abu Bakar berkata, resort mewah baharu juga berdepan cabaran kos operasi tinggi dan kekurangan pelancong berbelanja besar.

“Selain itu, jadual feri yang tidak konsisten, penerbangan terus yang terhad dan pilihan pengangkutan yang terbatas terus menyukarkan akses pelancong domestik dan antarabangsa,” jelasnya.

Menurut Mohd Firdaus, pelancong kini lebih sensitif terhadap harga, menyebabkan hotel dan resort bertaraf premium pun lengang.

Beliau berkata, kenaikan harga makanan dan bahan api turut menjejaskan minat, dengan ramai pelancong memilih destinasi lebih murah.

“Pihak berkuasa pelancongan negeri seharusnya lebih proaktif bukan sahaja menghidupkan semula Langkawi, tetapi juga pelancongan di tanah besar Kedah,” katanya. — The Star/ IMRAN HILMY

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram