
PENGUMUMAN harga RON95 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September depan di bawah program Budi Madani RO95 (BUDI95) mendapat reaksi berbeza daripada rakyat.
Menerusi pengumuman itu, pengguna yang layak boleh membeli sehingga 300 liter petrol RON95 sebulan, manakala pemandu e-hailing boleh memohon untuk diberikan had lebih tinggi.
Satu mekanisme lain untuk pembelian lebih daripada 300 liter akan diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Selasa.
Perjalanan hampir 80km sehala yang perlu ditempuh Saifullah untuk ke tempat kerja setiap hari. — Threads
Bagi seorang pengguna, Saifullah Adnan, harga subsidi baharu itu memberi kelegaan kepada dirinya yang perlu berulang hampir 160 kilometer (km) setiap hari dari rumah ke tempat kerja.
Menurutnya, jarak perjalanan sehala dari rumah di Taman Bunga Matahari di Ayer Tawar, Manjung, Perak ke tempat kerja di Chemor adalah kira-kira 79 kilometer, menjadikan jumlah perjalanan ulang-alik sehari mencecah 158 kilometer.
Dalam tempoh sebulan atau empat minggu, jumlah penggunaan petrolnya mencecah kira-kira 292 liter, yang secara kasarnya dibundarkan kepada 300 liter sebulan.
"Jarak aku pergi kerja (kira-kira) 79 km satu hala, seminggu aku kena isi minyak RM150, bersamaan kira-kira 73 liter.
"Sebulan atau empat minggu bolehlah ngam-ngam (dapat) 300 liter," kongsinya di Threads pada Isnin.
Sementara itu, bagi pengamal perubatan, Dr Hadi Kamal, dia membuat pemanduan sejauh 55 km untuk ke tempat kerja dan menyifatkan pemberian had siling 300 liter mencukupi.
"Kuota 300 liter sebulan cukup ke tak? (Sebanyak) 1,187 liter dipakai dalam tempoh 180 hari dari 26 Mac hingga 22 September 2025. Bererti lebih kurang 200 liter sebulan. Ini dah termasuk pergi kerja dan jalan-jalan bersama keluarga," kongsinya di Threads.
Bagi individu seperti Saifullah dan Dr Hadi yang melakukan perjalanan jauh setiap hari untuk bekerja, bantuan subsidi petrol itu dianggap sangat signifikan dalam meringankan beban kos sara hidup.
Perkongsian Dr Hadi mengenai isian petrol RON95 di Threads.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, harga subsidi petrol baharu memanfaatkan sehingga 16 juta warganegara.
Mereka yang tidak layak menerimanya, seperti warga asing perlu membeli RON95 dengan harga tidak bersubsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Mengenai mekanisme penggunaan BUDI95, Anwar berkata, rakyat dinasihatkan agar menyemak cip MyKad supaya berfungsi dan memiliki lesen memandu sah.
"Seperti SARA, tiada pendaftaran diperlukan untuk BUDI95, hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendapat harga bersubsidi, hampir serupa dengan proses transaksi semasa, hanya tambah satu langkah pengesahan MyKad diikuti proses biasa untuk membayar.
"Disediakan terminal pembaca MyKad di kedai stesen minyak dan juga di pam bagi mengurangkan risiko kesesakan.
"Untuk mereka yang celik digital, terdapat opsyen digital seperti Touch 'n Go dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel dan CaltexGo bagi mengurangkan kesesakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram