Buat pengambilan pelajar secara ‘superscale’, Yayasan Peneraju perkasa bakat bumiputera berkualiti


  • Bisnes
  • Sabtu, 20 Sep 2025

Sejak mengambil alih Yayasan Peneraju, Ibrahim telah mendorong agensi itu untuk bertumbuh dengan lebih pantas, mendaftarkan lebih ramai peserta setiap tahun. – KAMARUL ARIFFIN/ TheStar

APABILA Ibrahim Sani mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju pada November 2023, agensi tersebut sudah pun dikenali dengan misinya membina bakat bumiputera melalui program latihan, pensijilan dan pendidikan.

Namun, dalam tempoh kurang dua tahun di bawah kepimpinannya, agensi itu telah berubah daripada hanya membiayai beberapa ratus bakat bumiputera kepada ribuan peserta setiap tahun.

Semua itu dibuat dengan jumlah peruntukan yang sama iaitu RM150 juta. Transformasi berkenaan tidak berlaku tanpa beberapa keputusan sukar.

BACA LAGI: Pemandu boleh elak kamera had laju, lampu isyarat dan palang tol, pakar bimbang jualan alat ‘plate-flipper’ atas talian

BACA LAGI: Langkawi sepi, resort mewah pun lengang, ramai 'lari' ke Terengganu dan Hatyai

 

Ibrahim berkata, agensi pembangunan bakat itu menggugurkan biasiswa dengan menggantikannya dengan pinjaman, menghapuskan peranan orang tengah dengan membiayai peserta secara langsung selain memfokuskan usaha kepada hanya dua bidang iaitu pensijilan profesional dan teknologi.

Memiliki latar belakang akauntan bertauliah, Ibrahim berkata, cita-cita ekonomi Malaysia bergantung kepada kekuatan sektor perkhidmatan kewangannya.

“Mana-mana negara yang berjaya melangkah daripada status membangun kepada maju menjadikan kerjaya kewangan seperti akauntan bertauliah, CFA dan ahli ekonomi sebagai pemacu utama,” katanya.

Selain akauntan bertauliah, Yayasan Peneraju juga menekankan betapa pentingnya pembangunan bakat teknologi. — Gambar hiasan/ The Star

Ibrahim memetik anggaran yang dibuat oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) sekitar 13 tahun lalu bahawa negara memerlukan sekurang-kurangnya 60,000 akauntan bertauliah untuk menyokong matlamat ekonomi negara.

Namun hari ini, keanggotaan MIA masih sekitar 40,000 orang.

Kemajuan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi, tambahnya, telah terencat akibat kadar upah yang mendatar dan jurang kemahiran.

Permintaan pasaran adalah jelas, di mana 90 peratus pelajar perakaunan Yayasan Peneraju mendapat pekerjaan sebelum tamat pengajian dan angka itu meningkat kepada 100 peratus dalam tempoh enam bulan.

“Ini menunjukkan permintaan pasaran terhadap akauntan bertauliah sangat tinggi,” jelasnya.

Untuk memenuhi permintaan tersebut, Ibrahim berkata, Yayasan Peneraju, membuat pengambilan pelajar secara ‘superscale’.

Model Pembiayaan Baharu

Berbanding hanya melatih 200 hingga 300 akauntan pada tahun-tahun sebelumnya, yayasan tersebut melahirkan 850 akauntan tahun ini setakat ini, dan dijangka mencecah 1,500 menjelang akhir tahun.

Menjelang 2030, Ibrahim mensasarkan 5,000 pelajar akaun setiap tahun, menyumbang lebih 10,000 akauntan bertauliah dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sebagai perbandingan, MIA mengambil masa 12 tahun untuk berkembang daripada 20,000 kepada 40,000 ahli. Kita ingin bantu mereka capai 50,000 dalam masa lima tahun,” katanya.

Perubahan terbesar adalah dari segi kaedah pembiayaan latihan.

Sebelum ini, yayasan menyalurkan bayaran pukal kepada penyedia latihan, yang kemudiannya bekerjasama dengan pengurus program dan orang tengah untuk merekrut pelajar.

Ia merupakan satu sistem yang lebih menguntungkan penyedia, tetapi menambah lapisan kos. Kini, agensi tersebut membiayai peserta secara terus.

Ibrahim Sani, Chief Executive Officer of Yayasan Peneraju.–KAMARUL ARIFFIN/TheStar

Memiliki latar belakang akauntan bertauliah, Ibrahim menerajui Yayasan Peneraju sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.  – KAMARUL ARIFFIN/TheStar

“Kami percaya bahawa peserta sendiri lebih tahu apa yang mereka perlukan untuk perjalanan kerjaya dan profesional mereka,” jelas Ibrahim.

Kesan perubahan itu sangat ketara yang mana kursus SAP yang dulu kosnya RM30,000 kini boleh didapati pada harga RM11,000, jauh lebih rendah apabila ada persaingan antara penyedia latihan.

Program komputasi awan dan pembelajaran mesin yang dahulunya sekitar RM20,000 hingga RM25,000, kini hanya sekitar RM5,000.

Kos yang lebih rendah turut merangsang permintaan apabila jika sebelum ini hanya 50 hingga 100 pelajar yang mendaftar, kini penyedia latihan boleh menarik antara 2,000 hingga 5,000 pelajar.

Peralihan kepada pinjaman tanpa faedah dan bukannya biasiswa turut mengubah 'mindset' peserta.

“Dulu, dengan biasiswa, ada elemen rasa berhak. Tapi sekarang, dengan pinjaman, ada kesungguhan dan komitmen,” jelas Ibrahim.

Begitu pun, mulai tahun depan, Yayasan Peneraju akan memperkenalkan semula biasiswa.

Ia bagaimanapun hanya dalam bentuk pakej asas RM5,000 bagi kursus teknologi jangka pendek, memandangkan kebanyakan pensijilan teknologi kini lebih mampu milik dan penting.

Kitaran yang positif dapat melahirkan lebih ramai pencipta nilai masa depan. — Gambar hiasan/ The Star

Dengan kerjasama TalentCorp, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia, Yayasan Peneraju sedang memetakan peranan masa depan terhadap pekerjaan yang dijangka akan pupus.

“Kami menjangkakan penyedia latihan akan meningkatkan pengambilan dan harga akan turun lebih jauh,” katanya.

Yayasan Peneraju juga telah memperkenalkan program YPXLR8, iaitu program 'place-and-train' untuk individu bumiputera menganggur, yang memberi subsidi gaji RM1,500 sebulan selama lapan bulan, selain subsidi latihan RM5,000 hingga RM9,000 dalam bidang teknologi.

Yayasan Peneraju yang kini mempunyai hampir 70,000 alumni, sebelum ini tidak banyak melakukan kajian penjejak (tracer study), tetapi kini telah meningkatkan penglibatan dengan alumni untuk menilai perkembangan kerjaya jangka panjang mereka.

Ibrahim berkata, ramai peserta terdahulu kini berada di peringkat pengurusan pertengahan, dan sedang bergerak ke arah jawatan kanan (C-suite).

Dalam tempoh lima tahun akan datang, agensi bercadang untuk memetakan alumni kepada laluan kepimpinan sama ada sebagai pemimpin dalam perniagaan, profesion atau komuniti.

“Apabila kita jadikan ini satu kitaran, ia akan menjadi satu kitaran yang positif untuk kita melahirkan lebih ramai pencipta nilai masa depan,” katanya.

Walaupun pembangunan bakat semakin besar skalanya, Yayasan Peneraju masih beroperasi secara efisien dengan belanja operasi tahunan bawah RM20 juta.

"Ia sekitar satu pertiga daripada agensi setara", ujar Ibrahim.

Jumlah kakitangan telah meningkat daripada 60 kepada 120 orang, tetapi peranan rentas fungsi dan automasi membolehkan kos kekal rendah. — The Star / KIRENNISH NAIR

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram