
KEBOCORAN maklumat merupakan satu masalah besar dialami pada era kecanggihan teknologi kerana setiap informasi diperoleh boleh digunakan pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan.
Malah, isu tersebut amat meruncing di Malaysia kerana statistik tahun lalu mendapati kebocoran data dalam negara adalah paling teruk di Asia dengan kerugian sebanyak RM1.57 bilion disebabkan masalah itu.
Tidak cukup dengan itu, laporan pada penghujung 2024 menyaksikan maklumat peribadi seseorang boleh diakses hanya menggunakan nombor kad pengenalan yang kemudiannya dijual ke pasaran gelap.
BACA LAGI: Tular dakwaan data pelanggan bocor, Maybank yakinkan semua maklumat dilindungi
BACA LAGI: 'Data kita senang betul leak', maklumat lebih 1,300 mangsa banjir didakwa bocor
Isu tersebut sekali lagi dibangkitkan menerusi pengguna di akaun Facebook Pendakwah Teknologi yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang terus membiarkan kebocoran itu berlaku.
Dalam satu hantaran pada Sabtu, dia menyatakan data peribadi seseorang, termasuk latar belakang dan asal usul boleh diperoleh menerusi laman sesawang Caghi.
"Saya nak tanya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia dan kesemua kementerian di Malaysia ni, tak boleh buat apa ke dengan laman yang menyediakan akses kepada data rakyat Malaysia ni?
"Dengan hanya pendaftaran USD50 (RM211.19), habis bogel data saya dan semua data sesiapa sahaja yang ada kad pengenalan. Yang paling seronok, maklumat ini dikumpul dari pangakalan data pelbagai agensi," tulisnya.
Maklumat diperoleh kemudian akan ditawarkan kepada pihak yang mahu melakukan jenayah siber.
Hantaran itu disertakan dengan beberapa tangkap layar memaparkan maklumat peribadi dipercayai milik pemilik akaun Facebook berkenaan mudah diakses seperti tarikh lahir dan kawasan penempatan.
Lebih merisaukan lagi, laman sesawang berkenaan membenarkan pihak tidak bertanggungjawab memperoleh informasi berkaitan perbankan yang menjadi kunci bagi setiap jenayah siber.
"Saya rasa lebih baik tutup sahajalah semua agensi yang bercakap tentang keselamatan data jika laman sesawang seperti Caghi ni tak dapat dihalang.
"Nampak sangat mereka tidak tahu siapa yang bangunkan laman sesawang ini kerana sudah bertahun-tahun beroperasi. Ini saya siap boleh akses tanpa perlu VPN pun," tulisnya.
Sekiranya data peribadi boleh diakses semudah itu, masalah kebocoran data dalam negara akan menjadi lebih serius, lebih-lebih lagi sekiranya tiada sebarang penyelesaian diambil pihak berkepentingan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram