
POLIS sudah mula mengumpul maklumat dan merekod keterangan saksi yang boleh membantu dalam siasatan berhubung kes kebocoran maklumat melibatkan inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Ketua Polis Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya sudah mula merekod kenyataan dari pengadu selepas menerima laporan berhubung kebocoran maklumat melibatkan saksi kanak-kanak sekitar 4.15 petang pada Jumaat lalu.
Katanya, pihak polis sudah membuat permohonan untuk memperoleh analisis dari Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) bagi kes tersebut.
BACA LAGI: Inkues kematian Zara Qairina ditangguhkan, maklumat saksi kanak-kanak bocor di media sosial
BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Warden arahkan 2 pelajar bersihkan kesan darah — Pengawal keselamatan
Kasim mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat saksi kanak-kanak di media sosial. — Facebook/IPD Kota Kinabalu
"Pada masa sama, kami dalam proses mendapatkan kenyataan dari pihak pendakwa raya dan semua peguam terlibat," katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, usaha untuk menjejak suspek yang membocorkan maklumat sedang giat dijalankan dengan polis berharap mampu melengkapkan siasatan sebelum merujuk kes kepada pihak lain bagi siasatan lanjut.
Kasim turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan atau membocorkan maklumat kanak-kanak, terutamanya menerusi media sosial kerana tindakan tegas boleh diambil.
"Orang ramai perlu peka dan bersikap bertanggungjawab dalam berkongsi informasi memandangkan ia melibatkan keselamatan golongan bawah umur," tegasnya.
Jelas Kasim, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta MCMC 1988
Pada Jumaat, peguam Datuk Ram Singh memberitahu Mahkamah Koroner bahawa maklumat saksi kanak-kanak, termasuk anak guamnya sudah bocor dan disebarkan di media sosial.
Situasi itu menyebabkan inkues kematian Zara Qairina terpaksa ditunda ke Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram