
TINDAKAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan kedai serbaneka dan pasar raya menutup rak jualan rokok serta produk elektronik seperti vape secara tertutup merupakan satu langkah yang bijak, berani dan penuh simbolik.
Ia bukan sekadar tindakan fizikal menutup produk, tetapi juga satu mesej tegas bahawa negara kini sedang menuju ke arah masyarakat yang lebih sihat dan bebas daripada pengaruh tembakau.
Langkah itu sebenarnya bertepatan dengan pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang mula dikuatkuasakan secara berperingkat sejak 1 Oktober 2024.
BACA LAGI : 'Tambi banyak jasa dengan orang Bagan Serai', ramai berduka mekanik tinggalkan isteri, 3 anak sekelip mata
BACA LAGI : Cincin dianggap ketinggalan zaman, kini trend tayang 'penyepit rambut' tanda pelajar lelaki sudah berpunya
Tempoh penguatkuasaan berfasa diberikan sehingga 1 April 2025 sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Oktober 2025.
Namun, apa yang menarik perhatian saya ialah, ramai dalam kalangan masyarakat masih belum menyedari tentang pelaksanaan awal inisiatif berkenaan.
Langkah KKM mengarahkan kedai serbaneka dan pasar raya menutup rak jualan rokok serta produk elektronik seperti vape secara tertutup merupakan satu langkah yang bijak, berani dan penuh simbolik. — Facebook Mohd Shaari Abd Rahman
Saya sendiri termasuk dalam golongan itu, sehinggalah saya terbaca satu hantaran di Facebook oleh saudara Muhamad Harris Nasril, yang berkongsi pengalamannya ketika berkunjung ke sebuah kedai serbaneka.
Dalam perkongsian itu, Muhamad Harris menceritakan bagaimana rak rokok dan vape di kedai tersebut ditutup dengan kertas putih, menyebabkan dia menyangka jualan produk itu sudah dihentikan.
Namun juruwang memaklumkan ia ditutup mengikut arahan kerajaan.
Selepas membaca hantaran itu, saya sendiri tergerak hati untuk memeriksa pasar raya berhampiran rumah.
Ternyata, rak-rak di bahagian rokok dan vape turut ditutup rapat. Dalam hati saya, timbul rasa kagum dan senyum kecil kerana bagi saya, inilah satu langkah berhemah yang patut dipuji.
Saya menganggap tindakan menutup rak paparan rokok dan vape ini sebagai satu bentuk 'menutup hijab perokok' simbolik kepada usaha melindungi masyarakat daripada pengaruh dan godaan imej glamor tabiat merokok.
Pendekatan menutup rak rokok dan vape jauh lebih mendidik berbanding kempen bersifat paksaan dan ia mendidik melalui perubahan suasana dan simbol, bukan sekadar slogan. — Gambar Facebook Mohd Shaari Abd Rahman
Langkah sebegini bukan sekadar tindakan fizikal, tetapi satu mesej halus kepada masyarakat bahawa produk merokok tidak patut dipamerkan seolah-olah ia normal atau menarik.
Bila paparan fizikal disembunyikan, kecenderungan golongan muda untuk mencuba juga dapat dikurangkan.
Kita semua sedia maklum, kempen anti-merokok sudah lama dijalankan melalui pelbagai pendekatan iklan, video kesedaran, malah gambar ngeri pada kotak rokok.
Namun, realitinya kadar perokok baharu, termasuk dalam kalangan remaja, masih membimbangkan.
Justeru itu, saya percaya pendekatan tersebut jauh lebih mendidik berbanding kempen bersifat paksaan dan ia mendidik melalui perubahan suasana dan simbol, bukan sekadar slogan.
Pada masa sama, saya berharap usaha dipantau dengan serius agar dasar kawalan tembakau dapat diperkukuh demi melindungi generasi akan datang daripada ketagihan nikotin.
Inisiatif ini kecil pada pandangan mata, tetapi impaknya besar terhadap kesedaran kesihatan awam. Tahniah kepada KKM atas langkah progresif ini. — Majoriti
Affan Budi merupakan seorang pelajar universiti swasta di Shah Alam Selangor yang juga aktif sukan marathon.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram