
KETUA Polis Melaka mencadangkan larangan penjualan vape di seluruh negeri susulan peningkatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.
Timbalan Komisioner Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, cadangan larangan sepenuhnya terhadap penjualan produk vape itu dibuat berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penyalahgunaan dadah sintetik baharu oleh pelajar sekolah.
"Kami sedang menyediakan kertas kerja berhubung perkara ini untuk dibentangkan kepada kerajaan negeri.
BACA LAGI : Tiada istilah vape lebih selamat, kesan nikotin risiko lahir anak pramatang, organ bayi rosak — Pakar
"Selain kesan sosial terhadap pelajar, kajian ini juga akan mengambil kira pelbagai faktor lain termasuk implikasi ekonomi kepada para peniaga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang, Melaka semasa mengumumkan kejayaan membanteras satu sindiket pengedaran dadah pada Selasa.
Dzulkhairi berkata, berdasarkan siasatan polis, terdapat peningkatan kes melibatkan cecair vape bercampur dadah dalam kalangan pelajar sekolah.
"Terdapat laporan yang diterima mengenai pelajar yang menjadi khayal dan terbaring di tepi jalan serta di bawah pokok selepas waktu sekolah," katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata cadangan dan kertas kerja mengenai larangan tersebut akan selaras dengan saranan yang telah dibuat oleh Bukit Aman bulan lalu.
“Kami amat bimbang terhadap kesan penggunaan vape yang bukan sahaja menjejaskan orang dewasa, malah turut memberi kesan kepada para pelajar.
“Ia akhirnya boleh membawa kepada masalah sosial sekiranya tidak dikawal,” tambahnya. — The Star/RSN MURALI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram