
BENARLAH ungkapan harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, itulah gambaran tepat terhadap pemergian seorang mekanik motosikal dikenali hanya dikenali sebagai Tambi yang maut dalam kemalangan di Sungai Kepar, Perak pada Ahad.
Berita sedih itu tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Facebook Bagan Serai Kampung HalamanKu, yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Menurut hantaran tersebut, mendiang merupakan seorang mekanik yang dikenali ramai, fasih berbahasa Melayu dan rapat dengan masyarakat setempat.
BACA LAGI: Pernah berdepan situasi sama, wartawan sudah 'predict' nasib rakyat Malaysia ditahan tentera rejim
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga ‘Tambi’, semoga tabah dan sabar dalam menghadapi ujian ini.
"Dia (Tambi) dikenali sebagai seorang yang baik, rajin dan disenangi ramai
"Mendiang meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak,” tulis perkongsian itu pada Isnin.
Menjengah ke ruangan, rakan-rakan dan pelanggan tetap mendiang yang berbangsa India itu turut meluahkan rasa sedih serta berkongsi kenangan bersama.
Seorang pengguna Facebook, Faizura Baharin terkesan dengan pemergian mendiang.
"Rest in peace Tambi. Tiada lagi kawan Cik Abam.
"Kami berkawan sejak remaja lagi. Setiap hari sebelum balik rumah, dia mesti singgah di bengkel cik Abam. Semoga keluarga Tambi tabah.”
Seorang lagi, Hamba Tuhan, pula menyifatkan mendiang sebagai seorang yang baik hati dan mesra dengan semua orang.
“Ingat keluarga sendiri saja dia layan baik, rupanya satu Bagan Serai dia 'servis' elok. Terima kasih Tambi, you are the best. Last words from you ‘wah motor idaman aku ni’. Rest in peace, Tambi,” tulisnya
Sementara itu, Atikah Abu Bakar pula berkongsi niat murni untuk menghadiahkan pemasangan filem penebat haba (tinted) secara percuma kepada keluarga arwah.
“Dia baik orangnya, semua bangsa dia kawan. Kalau ada ahli keluarga dia terbaca posting ini, boleh bawa kereta mendiang, saya akan pasangkan tinted secara percuma. Dia banyak jasa dengan orang Bagan Serai,” katanya.
Pemergian Tambi nyata meninggalkan kesan mendalam buat penduduk tempatan yang mengenalinya sebagai seorang yang peramah, ringan tulang dan sentiasa tersenyum ketika bekerja.
Nama dan budi baiknya kini terus dikenang oleh masyarakat Bagan Serai, meskipun jasadnya sudah tiada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram