
APLIKASI mudah alih 'No Thanks' semakin popular dalam kalangan pengguna tempatan yang ingin menyemak sama ada sesuatu produk tersenarai dalam kempen boikot.
Melalui fungsi imbasan kod bar, pengguna boleh mengetahui jika sesuatu barangan mempunyai kaitan dengan syarikat yang disenarai sebagai menyokong rejim Zionis atau tidak.
Selain pegimbasan, pengguna juga dapat memasukkan nama produk untuk mengetahui sama ada produk tersebut berkaitan dengan Israel atau tidak.
BACA LAGI: Ramai pernah kena! Ini tip penting jika jadi mangsa scammer, kecurian identiti kad kredit
Setelah diimbas atau dimasukkan jenama, maklum balas akan dipaparkan di skrin dengan memberikan butiran lanjut mengenai produk berkenaan.
Namun, beberapa pengguna berpengalaman mengingatkan bahawa aplikasi itu tidak sepenuhnya tepat dan masih memerlukan semakan manual bagi mengelakkan kekeliruan.
“Lebih baik guna fungsi carian dalam aplikasi daripada terus scan, sebab kadang-kadang bacaan barcode tu tak tepat.
"Contohnya ada jenama yang kalau cari secara manual, tak disenaraikan dalam senarai boikot,” kata seorang pengguna Threads, @bungawisteria yang menggunakan aplikasi itu lebih dua tahun.
Menurut pemerhatian pengguna lain, terdapat produk yang belum dikemas kini dalam pangkalan data, serta kesilapan kategori yang boleh menyebabkan pengguna tersilap membuat keputusan pembelian.
“Kalau scan dan keluar tanda hijau, ramai terus beli. Tapi apabila balik rumah baru perasan produk tu sebenarnya dikeluarkan oleh syarikat yang berkaitan.
"Nama syarikat pengeluar selalu ditulis kecil pada label belakang bungkusan, menyebabkan pengguna sukar mengenal pasti hubungan syarikat dengan senarai boikot," katanya lagi.
Sebagai rekod, aplikasi No Thanks dibangunkan untuk mengesan produk pro Zionis dan mula dilancarkan pada 13 November 2023.
Ia bagi memudahkan gerakan memboikot produk berkenaan untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas dengan kejam.
Sebagai rekod, kempen boikot merupakan sebahagian daripada usaha solidariti rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan Palestin dan menolak syarikat yang dikaitkan dengan negara Yahudi itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram