
KOS pendidikan awal kanak-kanak kini semakin menjadi perhatian apabila yuran tadika di bandar dilihat semakin meningkat sehingga mencecah RM1,500 sebulan.
Ada yang menyamakan kos itu dengan kadar ansuran bulanan kereta malah lebih lagi.
Hasil tinjauan perkongsian ibu bapa di Threads mendapati purata kos bulanan bagi beberapa jenama popular adalah seperti berikut:
Perkongsian perbezaan yuran tadika. — Threads @nisalism
Qdees – melebihi RM1,000 sebulan
Nimblebee & CIC – sekitar RM890 hingga RM915
Brainy Bunch – antara RM810 hingga RM940
Vonad – sekitar RM673
Little Caliph – dianggarkan RM600 hingga RM700
Smart Reader - anggaran RM1,500
Kadar tersebut merangkumi yuran pendaftaran, yuran bulanan serta kos tambahan lain seperti uniform, buku, dan aktiviti kokurikulum.
Antara punca utama yuran yang tinggi termasuklah kos operasi melibatkan gaji guru, sewaan bangunan, lesen dan penyediaan makanan.
Selain itu, jenama dan modul sesetengah tadika menggunakan kaedah Montessori, pendekatan Islamik atau memberi tumpuan kepada pembelajaran dwibahasa meliputi Bahasa Inggeris dan Malaysia.
Program nilai tambah seperti hafazan, kelas Mandarin, seni mempertahankan diri seperti tae-kwan-do dan aktiviti berenang menambah kepada jumlah kos keseluruhan.
Ibu bapa bukan sahaja membayar untuk pendidikan, tetapi juga bagi nilai jenama dan reputasi. — Gambar hiasan/ Freepik
Dari sudut perniagaan, tadika beroperasi dengan model yuran berulang (recurring income). Lebih ramai pelajar yang mendaftar, lebih besar margin keuntungan yang diperoleh.
Bagi rangkaian jenama besar, keuntungan turut datang daripada yuran francais dan royalti yang dibayar oleh pengendali cawangan.
Seorang pengguna Threads, @honey_Berry93 berkata, tadikan yang memiliki banyak cawangan di seluruh Malaysia memang mahal sebab pengendali cawangan perlu membayar yuran program kepada pengasas dengan nilainya mencecah puluhan ribu setahun.
Ia tidak termasuk bayaran sewa tempat dan gaji guru yang turut menyumbang kepada peningkatan kos.
"Belum lagi masuk yuran nak konsert, lawatan dan sebagainya," tambah @sophie_sofea.
Bagi @ieda_Caryazara, walaupun tak bekerja, namun dia sanggup bayar yuran sebulan taska selepas melihat perkembangan positif anaknya.
"Bila fikir pembelajaran dan pergaulan anak, saya hantar dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari. Saya nampak dia gembira tengok budak-budak lain di taman permainan. Jadi saya dan suami pejam mata hantar ke taska demi perkembangan anak," ujarnya.
Justeru, ibu bapa bukan sahaja membayar untuk pendidikan, tetapi juga bagi nilai jenama dan reputasi.
Sehubungan itu, bagi ibu bapa, persoalannya bukan sekadar mahal atau murah, sebaliknya sama ada tadika yang dipilih selari dengan nilai keluarga, mampu ditanggung dalam bajet bulanan, serta menawarkan lokasi dan waktu operasi yang sesuai dengan rutin harian.
Ada yang memilih pakej premium bagi memberi pendedahan awal yang lebih menyeluruh, manakala ada juga yang memilih pilihan lebih sederhana tetapi tetap memenuhi keperluan asas pembelajaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram