
GAMBAR jagung ungu yang hilang warna selepas direbus tular di media sosial hingga menimbulkan kebimbangan pembeli yang berkunjung ke Cameron Highlands, Pahang.
Seorang wanita memuat naik hantaran di Facebook mendakwa dirinya ditipu peniaga di tanah tinggi berkenaan kerana jagung ungu yang dibeli bertukar warna pudar selepas direbus.
Wanita itu turut memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli jagung di Cameron Highlands.
Bagaimanapun, hantaran berkenaan sudah tidak dapat diakses dan dipercayai telah dipadam.
Selain itu, seorang pempengaruh media sosial, @jeanbeanstudio juga berdepan situasi sama ketika dia ke Cameron Highlands baru-baru ini.
"Rasa macam kena 'game' sebab warna jagung luntur dan rasanya tak sama macam jagung pulut ungu yang saya pernah makan di Taiwan dan Korea.
"Tapi saya tak pasti kalau jagung ungu di Malaysia rasanya macam jagung biasa. Saya pun tak pasti," katanya.
Dakwaan yang berlegar di media sosial bahawa jagung ungu yang dijual di Cameron Highland adalah jagung yang diwarnakan dengan pewarna tiruan adalah tidak benar.
Menurut MyCheck.my, ramai netizen di ruangan komen mendakwa jagung ungu tersebut telah diwarnakan dengan pewarna tiruan.
Sebahagian daripada mereka turut menyatakan pernah mengalami situasi sama apabila jagung ungu yang dibeli di Cameron Highlands kehilangan warna selepas direbus.
Namun, ramai juga tampil menafikan dakwaan itu dan berkongsi pengalaman mereka menanam jagung ungu sendiri.
Mereka menjelaskan bahawa jagung ungu secara semula jadi memang akan kehilangan warna apabila direbus dan ia bukanlah jagung palsu.
Jagung ungu, yang juga dikenali sebagai jagung ungu Peru, merupakan antara varieti jagung yang terdapat di pasaran global.
Ia berasal dari Peru dan telah ditanam sejak lebih 100 tahun lalu.
Di Malaysia, penanaman jagung bukan sesuatu yang asing, namun tidak ramai yang mengetahui kewujudan varieti jagung ungu.
Keunikan jagung ungu telah mendorong Penolong Pegawai Pertanian UPM, Mohd Nazrul Anis, menanam tanaman itu pada 2023 di ladang UPM.
"Saya tanam jagung ungu ini kerana mahu cuba sesuatu yang baharu dan hasilkan tanaman yang sukar ditemui di pasaran," katanya kepada MyCheck.my.
Mohd Nazrul, yang juga seorang pempengaruh di TikTok dan aktif berkongsi ilmu dalam bidang pertanian berkata, jagung ungu mengandungi bahan tambahan semula jadi dikenali sebagai antosianin.
Menurut hantaran di Facebook Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, antosianin adalah pigmen semula jadi dalam tumbuhan yang memberi warna biru, merah dan ungu.
Antosianin melindungi tisu tumbuhan daripada tekanan abiotik seperti air, tanah, udara, cahaya dan suhu.
Jagung ungu mengandungi bahan tambahan semula jadi dikenali sebagai antosianin. — Gambar hiasan
Buah-buahan yang kaya dengan antosianin termasuklah mulberi, strawberi, ceri, raspberi dan beri biru, manakala sayuran termasuk terung, kubis ungu, bawang merah kecil, ubi keledek ungu, ubi bit dan jagung ungu.
Mohd Nazrul menjelaskan bahawa dakwaan jagung ungu yang hilang warna selepas direbus adalah jagung tiruan berwarna adalah tidak benar.
Ini kerana terdapat dua jenis jagung ungu, iaitu ada yang hilang warna apabila dimasak dan ada yang mengekalkan warna.
"Berdasarkan pengalaman saya menanam pelbagai jenis jagung, jagung ungu datang dalam dua varieti iaitu jagung pulut dan jagung manis, serta ada juga dua jenis – yang hilang warna dan yang tidak hilang warna," katanya.
"Di pasaran terdapat pelbagai jenis dan kacukan. Warna jagung ini bergantung pada varieti yang ditanam," tambahnya.
Dia turut menerangkan bahawa adalah mustahil untuk mewarnakan jagung menggunakan pewarna tiruan kerana jagung mempunyai lapisan kulit luar.
Katanya, kaedah kukus lebih sesuai digunakan berbanding merebus kerana lebih berkesan mengekalkan warna jagung ungu.
Namun begitu, katanya, kaedah kukus tidak bermaksud warna jagung langsung tidak akan pudar.
"Mungkin warna tidak pudar sebanyak jika direbus. Antosianin secara semula jadi mudah larut dalam air.
"Ada jagung yang warnanya pudar dengan ketara, manakala ada yang hanya pudar sedikit sahaja," jelas Mohd Nazrul. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram