'Cash out' BNPL konon nak pegang tunai dalam tangan tapi jalan pintas ke lubang hutang


  • Bisnes
  • Khamis, 02 Okt 2025

Antara servis ejen yang menawarkan perkhidmatan orang tengah untuk pengeluaran tunai BNPL. — Gambar hiasan

FENOMENA 'cash-out' melalui platform yang menawarkan 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL) seperti SPayLater dan GrabPayLater semakin membimbangkan.

Ramai pengguna dilaporkan terjebak dengan caj melampau antara 20 hingga 30 peratus, menyebabkan hutang bertambah walaupun wang tunai sebenar yang diterima jauh lebih rendah.

Seorang pengguna Thread, Afiza Yusof menceritakan pengalaman daripada perkongsian di Group Bankrap Facebook yang boleh dijadikan iktibar agar tidak mengalami nasib sama.

BACA LAGI: Model stokis-ejen dah lapuk, 'founder' bisnes sezaman Sabella, Hasnuri kongsi punca bisnes merudum

BACA LAGI: Berderet masuk 'secure2u', wanita terkejut transaksi kad kredit lebih RM3,000, kecewa RM100 dah lesap kena kebas scammer

"Ramai 'lingkup' sebab 'cash out' BNPL, ada caj sampai 30 peratus.

"Sebagai contoh, nak keluarkan RM1,000, tapi yang masuk tangan cuma RM700 ke 800 selepas kena tolak caj perkhidmatan.

"Nampak macam 'shortcut' tapi ia sebenarnya jalan pintas ke lubang hutang," katanya.

Afiza berkata, pengguna masih terikat untuk membuat bayaran balik sebanyak RM1,000 padahal tunai sebenar yang dapat jauh lebih rendah.  

"Itu bukan servis tapi pinjaman berfaedah. Bahasa mudahnya ialah riba," ujarnya.

Menurutnya, caj sedemikian dianggap riba kerana berbentuk faedah tersembunyi, berbeza dengan upah servis tetap yang berpatutan.

"Ramai tak tahu beza upah servis dan riba. Kalau caj peratus tinggi (contoh 20 hingga 30 peratus) bersamaan dengan riba yang mana hukumnya haram.

"Tapi caj tetap dan berpatutan (contoh RM20 ke 30) sebagai upah servis (bayar masa/tenaga) dikira halal," jelasnya. 

Amalan itu turut melanggar undang-undang kewangan di bawah Islamic Financial Services Act 2013 kerana memberi pinjaman berfaedah tanpa lesen selain terma dan syarat platform terlibat.

"Walaupun SPayLater pernah disahkan patuh syariah oleh Amanie Advisor, aktiviti cash-out oleh pihak ketiga tidak termasuk dalam pengesahan tersebut.

"Lebih memburukkan keadaan, ramai pengguna melaporkan ditipu ejen tidak berdaftar. Apabila duit hilang, hutang tetap kena bayar, dah tersepit dua kali.

"Ada yang kehilangan wang tanpa mendapat pulangan tunai, namun hutang dengan platform BNPL tetap perlu dibayar.

"Kesannya, ramai yang akhirnya terjebak dengan masalah kewangan serius hingga ada yang muflis," ujarnya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati, tidak tergoda dengan jalan pintas dan mencari alternatif lebih selamat seperti berbincang terus dengan penyedia BNPL atau mengurus semula perbelanjaan.

"Kalau nak 'cash out', fikir banyak kali. Jangan sebab nak cepat dapat tunai, akhirnya hidup sendiri lingkup," ujarnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram