Berderet masuk 'secure2u', wanita terkejut transaksi kad kredit lebih RM3,000, kecewa RM100 dah lesap kena kebas scammer


  • Bisnes
  • Selasa, 30 Sep 2025

Tangkap layar paparan 'secure2u' bank yang memerlukan kelulusan pengguna bagi membolehkan transaksi dibuat dengan lancar. — Threads

SEORANG pengguna Threads berkongsi pengalaman cemas apabila mendapati kad kreditnya digunakan untuk pelbagai transaksi mencurigakan berjumlah lebih RM3,000 di beberapa platform e-dagang dan aplikasi popular.

Menurut @miamiots, dia terkejut apabila menerima notifikasi berderet daripada aplikasi perbankan yang meminta kelulusan pembayaran daripada pelbagai platform e-dagang antaranya Grab, Lazada dan Setel.

Lebih mengejutkan, transaksi itu dalam jumlah yang besar bernilai RM1,000 (Lazada), RM999 (Lazada), RM752.10 (Lazada), RM242.95 (Lazada) dan RM100 (Lazada).

BACA LAGI: Masih keliru antara BUDI95-MySARA, petugas stesen minyak tenangkan wanita panik, belum masuk gaji

BACA LAGI: ChatGPT jadi 'penasihat kewangan', pelabur termasuk pengguna RIA ASNB guna 'robo advisor' pilih saham

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyimpan butiran kad kredit pada aplikasi atau laman web. — Gambar hiasan/ Freepik

Bahkan wanita terbabit turut menerima kelulusan pembayaran bagi transaksi tanpa nilai berjumlah RM0.00 daripada Setel dan RM1.00 untuk Grab selain Shopee dan Touch n Go yang tidak dinyatakan jumlahnya.

“Ni baru bulan kedua saya pakai kad kredit. Agak-agak ini data leaked atau macam mana? Terkejut juga la, saya pun tak ada shopping banyak macam ni sekali gus,” tulisnya.

Bertindak pantas, dia segera menyekat kad berkenaan terlebih dahulu dan memohon kad gantian daripada pihak bank.

Bagaimanapun, dia mendakwa sudah kehilangan kira-kira RM100 hasil transaksi yang berjaya diluluskan.

“Saya hubungi bank, rupanya boleh tengok pending transaction. Sedih juga tengok… scammer dah dapat RM100. Sekarang tunggu apa tindakan seterusnya bank akan buat, sama ada dapat refund atau saya yang kena tanggung,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Threads turut tampil berkongsi pengalaman hampir sama.

Dia pernah berdepan situasi di mana kad kreditnya digunakan tanpa kebenaran untuk transaksi lebih RM5,000.

“Sejak saya remove kad kredit daripada Lazada, Shopee dan TikTok sebagai kaedah pembayaran, masalah ini dah tak berlaku. Memang tak berani dah nak simpan detail kad di platform online,” jelasnya.

Kes sedemikian menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan data pengguna di platform e-dagang dan aplikasi pembayaran.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyimpan butiran kad kredit pada aplikasi atau laman web, selain mengaktifkan ciri transaction alert bagi mengesan segera sebarang aktiviti mencurigakan.

Berikut beberapa tip yang boleh dijadikan panduan keselamatan siber:

1. Elakkan simpan butiran kad kredit di aplikasi atau laman web, terutama di platform beli-belah.

2. Aktifkan notifikasi transaksi (transaction alert) supaya setiap pembayaran dapat dipantau segera.

3. Gunakan kad maya (virtual card) atau e-wallet untuk mengurangkan risiko kad sebenar disalah guna.

4. Kawal had transaksi dengan menetapkan limit harian atau bulanan pada kad.

5. Tukar kata laluan secara berkala dan gunakan kombinasi yang kuat serta berbeza bagi setiap platform.

6. Pantau penyata bank dan kad kredit dengan kerap untuk mengesan sebarang transaksi meragukan.

7. Hubungi bank dengan segera jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan dan lakukan sekatan kad. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram