Terima 80 peratus klien dari Singapura, jurufoto dan jurusolek tempatan terjejas banyak 'job' kena batal


  • Bisnes
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Studio pengantin di Singapura dipercayai berdepan banyak rungutan daripada pasangan yang sudah membuat bayaran untuk perkhidmatan fotografi, videografi dan solekan, tetapi kini sukar menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan. — Gambar hiasan/ Freepik

JURUGAMBAR dan juruvideo perkahwinan di Johor kini berdepan kesukaran susulan langkah Singapura yang melarang pekerja 'freelance' warga asing daripada menawarkan perkhidmatan kreatif di negara itu.

Seorang jurugambar yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 36, berkata, pengumuman tersebut memaksa beliau dan rakan seindustri membatalkan semua tempahan akan datang di Singapura.

“Kami sudah ada deretan sesi fotografi praperkahwinan dan juga tempahan majlis perkahwinan yang dijadualkan bermula Oktober hingga tahun depan.

BACA LAGI: Baki gaji 'offshore' ada lebih RM3,000, TNG Go+ hingga kripto boleh jadi 'port' simpan duit buat pelaburan

BACA LAGI: Jurusolek, jurugambar tempatan dilarang ambil 'job' di Singapura, hanya pekerja warganegara sahaja dibenarkan

Selain jurugambar, jurusolek warga asing juga tidak dapat memenuhi tempahan 'job' di Singapura. — Gambar hiasan/ Freepik

“Jumlahnya agak besar kerana tempoh itu dianggap bertuah mengikut kalendar lunar, jadi ramai pasangan memilih untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

Menurutnya, banyak studio pengantin di Singapura mendapatkan khidmat jurugambar dan juruvideo dari Johor kerana kadar bayaran yang lebih rendah serta kualiti perkhidmatan yang dilihat lebih baik.

Lim memaklumkan pelanggan Singapura membentuk kira-kira 80 peratus daripada kliennya dan menyifatkan larangan itu bukan sahaja menjejaskan penyedia perkhidmatan dari Malaysia tetapi juga perniagaan dan pelanggan di Singapura.

“Studio pengantin di Singapura memberitahu kami bahawa mereka berdepan banyak rungutan daripada pasangan yang sudah membuat bayaran untuk perkhidmatan fotografi, videografi dan solekan, tetapi kini sukar menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menyatakan pasangan dari Malaysia yang merancang untuk menjalani sesi praperkahwinan di lokasi tarikan Singapura juga bimbang melanggar undang-undang.

Lim, yang pernah merakam pasangan di beberapa negara, berharap kerajaan Singapura dapat mempertimbangkan alternatif lain.

Pada 11 September lalu, Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM) bersama Persatuan Profesional Visual, Audio dan Kandungan Kreatif mengingatkan bahawa warga asing dengan pas pelancong atau pelajar tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan fotografi, videografi dan solekan di negara itu.

Mereka yang didapati bekerja tanpa pas kerja sah boleh dikenakan denda sehingga S$20,000 (RM65,530), penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Mereka juga boleh disenaraihitam daripada memasuki dan bekerja di Singapura.

Seorang juruvideo yang hanya mahu dikenali sebagai Dan, 39, turut meluahkan kebimbangan sama dan mencadangkan agar Singapura mempertimbangkan pemberian pas kerja sementara kepada pekerja bebas asing dengan bayaran tertentu.

“Pasukan saya juga ada beberapa projek yang belum disiapkan walaupun pelanggan sudah membuat bayaran.

“Tetapi kami tidak dapat meneruskannya kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang,” kata Dan yang sudah lebih sedekad berkecimpung dalam industri itu.

Tambahnya, perbincangan sedang dijalankan bersama klien untuk mencari jalan menyelesaikan kerja yang tergendala. — The Star/ YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram