
REJIM zionis mendakwa tiada bekalan kemanusiaan ditemui dalam mana-mana daripada 40 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dipintas ketika dalam perjalanan ke Gaza.
Menurut laporan Jerusalem Post, siasatan dan penggeledahan kapal berkenaan hanya menemui para aktivis, namun tiada sebarang barangan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan atau keperluan asas.
Pada masa sama, mereka turut menyiarkan sebuah video yang memaparkan jurucakap Dean Elsdunne menunjukkan keadaan dalaman salah satu kapal terbesar flotilla tersebut yang kelihatan kosong tanpa sebarang bekalan bantuan.
BACA LAGI: PM Anwar saran aktivis Malaysia tangguh dulu sertai misi kemanusiaan ke Gaza
BACA LAGI: Kepala, paha manusia ditemukan dalam perut buaya selepas 4 hari dibaham di Sungai Semanok
Elsdunne menjelaskan ketiadaan bekalan itu menjadi sebab aktivis berkenaan menolak tawaran daripada mereka dan beberapa negara lain untuk menyerahkan bantuan tersebut.
“Tujuan mereka bukanlah untuk membawa bantuan ke Gaza, tetapi untuk mendapat liputan media dan pengikut di media sosial,” kata Elsdunne dalam video tersebut.
Sementara itu, menurut hantaran di media sosial oleh Sumud Flotilla, sebuah flotilla lain kini sedang menuju ke Semenanjung Gaza.
Misi kemanusiaan flotilla ke Gaza yang dikendalikan oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah mula berlayar secara berperingkat sejak 27 September lalu dari Itali.
Difahamkan, misi tersebut melibatkan lebih 10 bot termasuk kapal utama Conscience dan Umm Saad yang membawa wartawan antarabangsa, doktor, ahli parlimen dan aktivis dari pelbagai negara.
Lapan kapal lain telah berlepas dari Itali hampir seminggu lalu dan mengikut penjejakan langsung melalui internet, kesembilan kapal itu kini berada berhampiran pulau Crete.
Pada masa sama, akaun media sosial Sumud Flotilla di laman X melaporkan bahawa flotilla kedua yang terdiri daripada 45 kapal telah berlepas dari pelabuhan Arsuz, Turki menuju ke Gaza.
Mereka turut memuat naik video sebagai bukti, namun belum ada pengesahan rasmi bahawa kapal-kapal tersebut benar-benar menuju ke Gaza. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram