
MALAYSIA sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mambawa keluar semua aktivis negara yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) keluar menerusi Turkiye, dengan usaha itu dijangka mengambil masa satu dua atau hari ini (Jumaat).
Memetik laporan Berita Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah menyampaikan permintaan itu kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan dan pemimpin dunia Islam itu turut bersetuju.
"Saya sudah minta jasa baik Erdogan untuk bawa (aktivis Malaysia keluar) ke mana-mana sempadan (dengan Israel) dan bawa ke Istanbul, dari Istanbul kita bawa pulang," katanya pada Jumaat.
Anwar menjelaskan, semua aktivis Malaysia itu dijangka keluar menerusi satu pesawat dari Israel, bersama-sama aktivis Turkiye yang turut ditahan tentera rejim pada Khamis.
Terdahulu, Anwar melalui media sosialnya memaklumkan telah menghubungi Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center Sani Araby bagi mendapatkan perkembangan terkini terkait usaha membawa pulang aktivis dan sukarelawan Malaysia.
"Sebagai Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara, saya turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia, selain meminta agar keadaan kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian sepenuhnya.
"Saya memberi jaminan bahawa segala daya dan upaya sedang digembleng bagi memastikan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi," tulisnya pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram