
DERETAN premis perniagaan di SS2, Petaling Jaya, Selangor kelihatan sama seperti kebanyakan pusat komersial lain namun di tingkat atas sebuah rumah kedai, tersembunyi sebuah ruang seni unik dikenali sebagai Mew Movement.
Premis yang diasaskan oleh dua sahabat baik, Melissa Ng dan Yew Yiqin pada 2021 itu menyatukan elemen budaya pop, nostalgia dan kreativiti unik di sebalik pintu gaya lif lama.
Terdapat pelbagai produk kraftangan dan barangan comel seperti pelekat, poskad, stokin dan sarung telefon yang semuanya direka oleh mereka sendiri.
BACA LAGI: Ilham dari hujan, sentuhan kreatif wanita Taiping 'upcycle' biji kopi jadi aksesori unik
BACA LAGI: Akui sukar cari kerja, graduan seni reka grafik tak kisah jual keutiau goreng, biskut ais jem mini
Mew Movement bukan sekadar ruang jualan sebaliknya mereka mahu setiap pengunjung menikmati pengalaman menarik di situ. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
“Melissa dan saya dah berkawan sejak sekolah menengah. Walaupun kami melanjutkan pengajian di kolej berbeza, kami bersahabat baik,” kata Yew, 26.
Ketika pandemik melanda negara, kedua-dua wanita itu mengambil peluang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan mengasaskan Mew Movement hasil gabungan nama Melissa dan Yew.
Malah Melissa dan Yew membuat maskot karakter hantu comel bernama Mew.
“Ia sebenarnya bukan hantu, tapi satu karakter yang melambangkan identiti diri yang tidak ingin dedahkan kepada sesiapa.
'Kami nak pelanggan tahu, di Mew Movement, anda boleh menjadi diri sendiri,” jelas Yew.
Tahun pertama diasaskan, Mew Movement bermula secara dalam talian namun ruang fizikal diwujudkan selepas mereka rasa ada keperluan untuk berinteraksi lebih dekat dengan komuniti.
“Kami juga nak sediakan tempat supaya orang boleh datang, lepak dan rasa gembira,” kata Melissa sambil memberitahu, mereka juga aktif pasar seni sekurang-kurangnya dua kali sebulan.
Konsep Mewracle bertemakan Mew Cake House berlangsung hingga 27 Julai ini. — Mew Movement
Antara lokasi yang pernah disertai termasuk Central Market, Pingmin Market dan Comic Fiesta. Pada Mei 2025, mereka turut membuat penampilan sulung di Kuala Lumpur Illustration Fair.
Bagi Melissa dan Yew, Mew Movement bukan sekadar ruang jualan sebaliknya mereka mahu setiap pengunjung menikmati pengalaman menarik di situ
“Kami tak kisah orang duduk lama, lepak dengan kawan-kawan. Sebab itu kami wujudkan sudut khas yang kami panggil ‘Mewracle’,” kata Yew dengan konsepnya diubah setiap dua ke tiga bulan sekali.
Antara konsep Mewracle yang paling popular berkonsepkan 'Picnic with Monet' pada Februari 2024 diinspirasikan daripada suasana dalam lukisan Monet dan 'Mewsic Box' yang direka seperti kedai rekod album.
Kini, Mewracle bertemakan Mew Cake House dengan ilham daripada konsep manisan dan pencuci mulut yang dihias cantik.
Mew Movement turut dikenali dengan ‘Live Drawing Photo Booth’ yang pada luarannya kelihatan seperti kios gambar biasa.
Tapi yang menarik, tiada kamera di situ, sebaliknya, Melissa atau Yew akan melukis potret mini anda secara langsung, siap dalam masa lima ke 10 minit sahaja.
Pelanggan juga boleh membuat tempahan dengan menghantar gambar mereka dan sebaik siap, ia akan dihantar menerusi pos.
Satu lagi tarikan menarik pengunjung boleh menulis poskad kepada diri sendiri (atau orang lain), pilih bulan tertentu dan ia akan dipos kemudian.
Dalam berkarya, Melissa dan Yew banyak mendapat inspirasi daripada budaya pop menerusi rancangan TV, filem, muzik dan meme viral.
“Kami banyak terinspirasi daripada pengalaman sendiri dan apa-apa yang sedang trending,” kata Melissa yang memiliki latar belakang reka bentuk dalaman.
Mew Movement juga boleh dikunjungi di acara seperti pasar seni kelolaan Central Market. — Mew Movement
Bagi seorang pengunjung setia, Faith Lai, 23, Mew Movement diibaratkan seperti syurga seni buat orang sepertinya.
“Sebagai pelajar seni, saya suka tengok hasil karya orang lain. Bahagian paling digemari di sini ialah Mewracle kerana ia sentiasa berubah setiap beberapa bulan.
“Tahu-tahu saya dah belanja RM400 ke RM500 sejak pertama kali datang ke sini. Semua benda comel dan sangat relatable,” katanya.
Sebagai ruang seni bebas yang menggabungkan galeri dan studio reka bentuk, Yew akui, mereka tak pernah jangka perjalanan bisnes akan sejauh ini.
“Sejujurnya, kami cuma rancang nak cuba setahun dua. Tapi sekarang dah masuk empat tahun, dan kami masih rasa ada banyak lagi benda nak buat.
“Kami tak sangka permintaan terhadap seni sebaik ini, dan orang ramai begitu terbuka mahu berbelanja untuk benda kecil yang menyeronokkan," ujarnya.
Impian mereka kini ialah menjadikan Mew Movement sebagai lokasi wajib untuk peminat budaya pop seperti Daddy And The Muscle Academy di Bangkok yang terkenal sebagai syurga hipster.
“Kalau anda stres atau rasa terbeban, datanglah ke sini untuk seketika. Tak perlu beli apa-apa pun. Cukup sekadar nikmati seni,” kata Melissa menutup bicara. — The Star/ HANIS MAKETAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram