Dari penjara ke pesaing Tunku Abdul Rahman, inilah kisah Mustapha Hussain, pejuang kemerdekaan kian dilupakan


  • Massa
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Mustapha mencurahkan pelbagai sumbangan dalam membantu negara meraih kemerdekaan.

BERCAKAP sahaja tentang kemerdekaan, nama-nama tokoh seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan mendiang Tun Tan Cheng Lock sudah tentu terlintas dalam fikiran.

Selain itu, pejuang termasuk Mat Kilau, Tok Gajah dan Tok Janggut sering dicatatkan dalam sejarah tanah air kerana sumbangan mereka penting dalam membebaskan cengkaman penjajah.

Bagaimanapun, masih ada barisan tokoh negara yang mungkin kurang didendang selepas menghabiskan hayat memperjuangkan kemerdekaan meskipun jasa masing-masing cukup menggunung.

BACA LAGI: Pestabola Merdeka, UiTM antara 4 sejarah penting berlaku di bulan Kebangsaan

BACA LAGI: [VIDEO] Gotong-royong hias 'mini muzium Hari Kebangsaan', semangat patriotik terus mekar

Kisah Mustapha Hussain diabadikan dalam buku The Memoir of Mustapha Hussain: Malay Nationalism before Umno.

Ini termasuk Allahyarham Mustapha Hussain yang merupakan watak utama di sebalik penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dengan ideologi tersebut mencetuskan gerakan kemerdekaan terawal dalam negara.

Menerusi coretan The Memoirs of Mustapha Hussain: Malay Nationalism before Umno, diceritakan bagaimana anak jati Taiping, Perak itu berjuang demi negara dengan menubuhkan kesatuan berkenaan.

Dia yang diberi gelaran Bayu sempena singkatan Bapa Melayu bersama seorang guru, Ibrahim Yaakob mengasaskan KMM dengan ia menjadi tunjang dalam usaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.

Organisasi itu juga bukanlah semata-mata didirikan atas dasar politik, namun menjadi lambang kebangkitan pemuda dalam negara yang tidak mahu tunduk di bawah kuasa asing.

Mustapha (kiri) bersama keluarganya ketika meluangkan masa di Taman Botanik Penang. — The Memoir of Mustapha Hussain: Malay Nationalism before Umno.

Seperti mana dialami tokoh kemerdekaan lain, Mustapha tidak terkecuali daripada mengalami tentangan sepanjang perjuangannya, termasuk pernah dimasukkan dalam penjara oleh tentera British atas pertuduhan bersekongkol dengan Jepun.

Tetapi, hukuman itu tidak melunturkan semangat dia yang kembali aktif selepas dibebaskan sehingga menjadi penasihat khas kepada Datuk Seri Burhanuddin Al-Helmy dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Selepas parti itu diharamkan British, Mustapha kemudian memilih untuk menyertai Umno yang menyemarakkan lagi usahanya untuk membebaskan cengkaman kuasa luar dalam pemerintahan negara.

Penyertaan dalam organisasi itu menyaksikan perjuangannya berubah ke arah diplomasi kerana dia terpaksa berdepan cabaran dari segi politik berbanding menyuarakan usaha kemerdekaan secara lantang.

Bagaimanapun, usahanya untuk terus memacu Umno tidak kesampaian selepas perebutan menjadi presiden parti itu dimenangi Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman dengan perbezaan satu undi.

Kemenangan tipis Tunku Abdul Rahman dalam pemilihan Presiden Umno sedikit sebanyak menamatkan perjuangan Mustapha.

Perebutan itu tercetus selepas Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan pada 1951 dengan seorang pemimpin diperlukan untuk membantu negara mencapai kemerdekaan yang sudah lama diinginkan.

Namun, kekalahan kepada Perdana Menteri pertama itu menyaksikan Mustapha mula tenggelam kerana catatan sejarah sudah tentu cenderung menulis mengenai tokoh yang lebih berpengaruh.

Tetapi, cita-citanya untuk melihat kemerdekaan tertunai apabila pada 31 Ogos 1957, laungan kemerdekaan kedengaran dilaungkan Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Mustapha akhirnya menghembuskan nafas akhir pada 15 Januari 1987 dengan legasi ditinggalkan sepanjang menuntut kemerdekaan tidak sepatutnya dilupakan, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda.

Dia pergi pada usia 77 tahun di Hospital Tawakkal sekitar ibu negara, tapi semangat dan perjuangannya tetap hidup dalam setiap hela nafas kebebasan yang kita kecapi hari ni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram