
PERAK Bison menutup tirai kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2025 dengan penuh bergaya apabila menjulang kejuaraan Grand Prix (GP) Perak selepas menundukkan Kelantan Warriors 2-0 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada Ahad.
Kemenangan skuad tuan rumah lebih bermakna dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang turut menyaksikan perlawanan penuh dramatik itu.
Dibarisi Kritsada Sungvung selaku tekong, Muhammad Noraizat Nordin (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi sebagai apit kiri, Bison memanfaatkan sokongan padu penyokong untuk tampil lebih bertenaga.
BACA LAGI: 'Kami mahu duit kami', pemain Kelantan Warriors tuntut tunai janji selepas menang STL Divisyen 1
BACA LAGI: Melaka Titans bolot GP Terengganu, harapnya trio kebangsaan dipisahkan demi ‘hype’ STL
Set pertama berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan berkejaran mata hingga kedudukan terikat 11-11, sebelum Perak mempamerkan kebangkitan untuk menutup set dengan kemenangan 15-11.
Aksi pada kemenangan set pertama pasukan tuan rumah tampak meriah kehadiran pelakon terkenal tanah air, Zul Ariffin yang berada dalam kalangan penyokong regu Perak Bison berkenaan.
Berdasarkan video berdurasi 22 saat yang dimuat naik laman rasmi STL di Facebook, pelakon kelahiran Taiping itu dilihat begitu bersemangat menyokong pasukan negeri kelahirannya.
Malah, pelakon berusia 38 tahun itu juga mengekspresikan kegembiraannya dengan melompat sebaik Perak Bison menutup set pertama dengan kemenangan selepas aksi sengit menentang Kelantan.
Sorakan serta reaksi spontannya turut mengundang pelbagai komen positif dalam kalangan peminat di media sosial, yang rata-rata bangga melihat sokongan padu selebriti terkenal itu terhadap skuad Perak.
Menariknya, ruangan komen di hantaran tersebut turut dibanjiri peminat yang menyebut watak lakonannya sebagai Ustaz Solihin dalam filem pecah panggung pada 2018 iaitu Hantu Kak Limah.
Rata-rata mengusik pelakon berusia 28 tahun berkenaan dengan mengatakan seolah-olah 'Ustaz Solihin' pula yang hadir memberi semangat kepada skuad Perak.
Pada set kedua pula, Kelantan Warriors bangkit lebih garang menerusi kombinasi Sukrit (tekong), Muhd Azim (apit kanan) dan Muhd Zulfikri (apit kiri), sekali gus menguji ketahanan mental tuan rumah.
Namun, semangat juang Bison tidak goyah apabila servis berbisa Kritsada menghadiahkan mata kejuaraan dan sekali gus pasukan bimbingan Dzafrul Anuar berhasil menamatkan perlawanan dengan sorakan gemuruh penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram