‘Rindu sebatas al-Fatihah’, wanita kenang lambaian terakhir arwah suami sebelum meninggal, menanti tempoh iddah berakhir


  • Cinta
  • Rabu, 03 Sep 2025

Myra terkenang lambaian terakhir arwah suaminya sewaktu berada di hospital.

LAMBAIAN tangan seorang suami dari katil hospital empat bulan lalu kini menjadi kenangan paling berharga buat isterinya, Myra Rahmat.

Pada Khamis, rakaman detik itu dikongsikan oleh Myra, genap 130 hari pemergian insan tercinta, Hafiz Azhar.

Tanggal 5 April 2025, Hafiz dimasukkan ke Wad Rawatan Jantung (CCU), Hospital Pulau Pinang.

Myra berkata, harapan hidupnya ketika itu hanyalah 20 peratus, namun dirinya masih memujuk hati dengan berharap keajaiban.

Tetapi pada 26 April, harapan itu bertukar menjadi kesedihan saat suaminya pergi meninggalkan dirinya untuk selamanya. 

Sejak hari itu, setiap detik terasa panjang. Myra menghitung hari demi hari dalam sepi, terikat dengan tempoh iddah yang wajib dilalui seorang balu.

Dan kini, genaplah 130 hari – hari terakhir iddahnya.

“Empat bulan sepuluh hari terasa terlalu lama… tiap hari hanya rindu yang kutitipkan dengan al-Fatihah,” katanya. 

BACA LAGI: Ketahui jenis vitamin mampu lewatkan proses penuaan hingga 4 tahun, kajian Harvard bongkar rahsia awet muda

BACA LAGI: 'Baru 26 tahun, dah kena dialisis', akibat pengambilan gel detox selama berbulan-bulan, wanita kini hidap penyakit buah pinggang kronik

Menjangah ke ruangan komen, luahan Myra itu membuka ruang buat wanita lain berkongsi pengalaman kehilangan.

Seorang pengguna, Norhazarita Seman berkata, dirinya juga sedang melalui tempoh yang sama. 

“Saya masih menghitung hari, esok baru dua bulan arwah suami pergi. Ada lagi dua bulan 10 hari sebelum saya dapat ziarah rumah baru suami," katanya. 

Bagi Norma Shila, perasaan itu amat difahami kerana beliau pernah melaluinya.

“Masa dalam iddah adalah masa yang paling menyiksakan. Walaupun saya sudah berusia ketika kehilangan suami, setiap hari saya hanya mampu duduk di tepi tingkap sambil menangis. Salam takziah buat puan," katanya. 

Seorang lagi, Nash Hamza mengakui rasa kehilangan itu lebih berat daripada perpisahan biasa. 

“Ini lebih menyakitkan daripada sebuah perpisahan, kerana hilang selamanya. Semoga Allah beri puan kekuatan untuk terus tabah," katanya. 

Dalam Islam, wanita yang kematian suami diwajibkan menjalani iddah selama empat bulan 10 hari sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran.

Firman ALLAH

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka (isteri-isteri itu) menunggu dirinya selama empat bulan sepuluh hari.” (al-Baqarah: 234)

Menurut mazhab Syafi‘i, sepanjang tempoh itu balu wajib menetap di rumah yang didiaminya ketika suami meninggal serta meninggalkan segala bentuk perhiasan. 

Ulama juga menjelaskan, keluar rumah hanya dibenarkan jika ada keperluan mendesak seperti rawatan atau urusan penting, manakala ziarah kubur tidak dianggap keperluan darurat, maka tidak dibenarkan dilakukan ketika dalam iddah.

Seorang ulama besar dalam mazhab Syafie, berasal dari Mesir, Imam al-Ramli dalam Nihāyat al-Muḥtāj (jilid 7, hlm. 127):

"لَا تَخْرُجُ الْمُعْتَدَّةُ إِلَى الزِّيَارَةِ، وَإِنْ كَانَتْ زِيَارَةَ قَبْرٍ، لِأَنَّهُ لَا ضَرُورَةَ فِيهَا."

Maksudnya: “Wanita dalam iddah tidak boleh keluar untuk ziarah, walaupun ziarah kubur, kerana tiada keperluan darurat padanya.”  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram