[VIDEO] Pusingan U haram: Pemandu treler tersalah masuk jalan, langgar kereta parkir — Polis Sungai Buloh


  • Massa
  • Selasa, 30 Sep 2025

Tangkap layar menunjukkan lori berat tersebut membuat pusingan-U di laluan masuk ke simpang yang mempunyai papan tanda larangan pusingan-U.

SEBUAH lori dilaporkan melanggar kereta yang diparkir di tepi Jalan Hospital Sungai Buloh, Selangor, petang Isnin selepas dipercayai membuat pusingan-U di tempat larangan.

Kejadian tersebut tular di media sosial selepas sebuah rakaman video berdurasi satu minit 32 saat memaparkan lori berkenaan cuba melakukan pusingan-U sebelum mengundur dan melanggar kereta yang diparkir di bahu jalan.

Rakaman itu jelas menunjukkan lori muatan berat tersebut membuat pusingan-U di laluan masuk ke simpang yang mempunyai papan tanda larangan pusingan-U.

BACA LAGI: [VIDEO] Pengawal keselamatan di Kuala Lipis seolah-olah dianiaya majikan, gaji minimum dan caruman KWSP tak dibayar

BACA LAGI: [VIDEO] Abang Jojo tumbangkan lawan menerusi TKO, tunjuk skil lengkap 'elbow war'

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, siasatan awal mendapati pemandu treler dari Klang dalam perjalanan ke sebuah kilang di Sungai Buloh sebelum tersilap masuk jalan.

“Pemandu berkenaan cuba membuat pusingan-U dan ketika mengundur, treler terbabit melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga yang diparkir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.40 petang itu, namun kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan.

Menurutnya lagi, pemandu lori dan pemilik kereta tersebut telah hadir ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk membuat laporan pada hari yang sama.

Kejadian kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum 12 bulan jika sabit kesalahan.

“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi papan tanda serta isyarat lalu lintas bagi mengelakkan insiden sama berulang,” tambah beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Sungai Buloh, Sarjan Azizul Azrin Bahro di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan IPD Sungai Buloh di talian 03-61561222 untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram