Skandal pemain warisan: SPRM tegaskan berlaku kesilapan teknikal, bukan kes rasuah


  • Kes
  • Ahad, 28 Sep 2025

SPRM menegaskan isu yang melibatkan pemain warisan bersifat teknikal dan bukan dalam bidang kuasanya buat masa ini.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang asas kesalahan yang dikenal pasti mengikut Akta SPRM 2009 membabitkan dakwaan pemalsuan dokumen Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap tujuh pemain bola sepak kebangsaan.

Sebaliknya, isu tersebut dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini.

SPRM menerusi satu kenyataannya pada Ahad memaklumkan bahawa agensi itu sudah berhubung dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan turut mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

BACA LAGI: Hamidin terbang ke ibu pejabat FIFA, kemuka rayuan isu skandal pemain warisan

BACA LAGI: Lebih teruk dari skandal rasuah 1994, hukuman FIFA bukti tiba masanya tekan butang ‘reset' demi bola sepak negara

SPRM menegaskan isu yang melibatkan pemain warisan bersifat teknikal dan bukan dalam bidang kuasanya buat masa ini.

Menurutnya, hasil daripada kerjasama itu, SPRM dibekalkan dengan beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran kewarganegaraan pemain terbabit.

"Berdasarkan semakan awal, SPRM ingin menegaskan bahawa isu ini dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini.

"Selain itu, tiada sebarang asas kesalahan yang dikenal pasti di bawah Akta SPRM 2009 setakat ini," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM tidak akan berhubung dengan pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak FAM untuk diselesaikan bersama badan bola sepak dunia terbabit.

"SPRM menyeru semua pihak supaya memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak terbabit," katanya.

Sebelum ini, FIFA dalam kenyataan rasminya mendedahkan FAM dan tujuh pemain didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) kerana menyerahkan dokumen yang dipalsukan dalam proses pengesahan kelayakan pemain.

Pemalsuan itu dilakukan bagi membolehkan pemain berkenaan disenaraikan dalam perlawanan rasmi skuad kebangsaan.

Tujuh pemain terbabit adalah Gabriel Palermo, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Hasil siasatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, FAM dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram