
SEORANG pengawal keselamatan di Kuala Lipis, Pahang dilihat seolah-olah menerima layanan tidak adil apabila majikannya didapati gagal memberi hak yang sewajarnya kepada pekerja termasuk gaji minimum dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menerusi satu rakaman video yang dikongsikan di laman Facebook, kelihatan pengawal keselamatan tersebut mendedahkan bahawa pihak syarikat tidak membayar gaji minimum yang sepatutnya dan culas dalam pembayaran caruman KWSP kepada pekerja.
Isu tersebut terbongkar selepas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Mohamad melakukan tinjauan di sebuah syarikat sekuriti di Kuala Lipis pada hari yang sama.
BACA LAGI: FAM akui wujud kesilapan teknikal staf pentabiran, tapi sahkan 7 pemain digantung rakyat Malaysia
Dalam lawatannya, beliau mendapati masih ada syarikat keselamatan yang mengabaikan hak pekerja mereka.
“Pada Sabtu saya sempat berjumpa beberapa pengawal keselamatan sekitar Lipis dan menerima banyak aduan mengenai layanan tidak adil terhadap mereka,” kata Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis.
Beliau menambah, kebanyakan pengawal keselamatan tidak mengetahui hak mereka, manakala syarikat sekuriti pula tidak mengambil berat tentang kebajikan mereka.
“Mereka adalah barisan hadapan yang menjaga keselamatan komuniti dan aset, namun kebajikan mereka juga perlu dilindungi," tambahnya lagi.
Datuk Abdul Rahman berkata, beliau akan melakukan pemeriksaan di seluruh negara terhadap syarikat yang tidak mematuhi Akta Pekerjaan dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap syarikat yang membuang pekerja yang tampil memberi maklumat.
Isu tersebut membuka mata tentang pentingnya memastikan hak pekerja terjaga, terutamanya golongan yang bertugas menjaga keselamatan awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram