
“MOHON doa semua agar ada keajaiban buat anak saya.” Itu rayuan penuh sebak Muhammad Badrul, bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera parah selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat dekat Bachok, Kelantan pada Khamis.
Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, Muhammad Badrul merayu doa orang ramai agar anak sulungnya yang kini dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian diberi kekuatan melawan kesakitan.
"Assalamualaikum sahabat-sahabat, ini anak saya yang kes dipukul di Jelawat, Bachok. Mintak jasa baik kpada semua.
BACA LAGI: [VIDEO] Pura-pura ikut mencari, jiran terdekat rupa-rupanya dalang kes mayat anak tunggal dalam guni
"Minta doakan anak sulung saya dipermudahkan segala urusan. Keadaan kritikal, pendarahan di bahagian kepala tak berhenti.
"Mudah-mudahan doa dari sahabat semua ada satu keajaiban untuk anak saya," tulisnya
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek berusia 46 tahun yang juga penganggur dipercayai memukul mangsa dengan sebatang tukul sebelum menamatkan riwayatnya sendiri dengan menggantung diri pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati suspek yang merupakan penagih dadah dipercayai bertindak demikian kerana memarahi mangsa yang juga anak saudara suspek.
"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada Jumaat.
Mangsa yang tidak didedahkan namanya itu dilaporkan masih kritikal dan menerima rawatan intensif di HUSM Kubang Kerian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram