BUDI95: Had kelayakan tambahan untuk pemandu e-hailing dimuktamad minggu ini


  • Massa
  • Selasa, 30 Sep 2025

Kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter menerusi inisiatif BUDI95.

KERAJAAN akan berbincang dengan penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) bagi mengenal pasti pemandu yang layak menerima had kelayakan tambahan petrol bersubsidi di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Memetik laporan Berita Harian, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, proses permohonan bersama Kementerian Kewangan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan dimuktamadkan minggu ini.

Menurutnya, kerajaan turut bersetuju mempertimbangkan pengendali bot, khususnya di Sabah dan Sarawak, untuk menikmati harga subsidi.

BACA LAGI: Kelayakan BUDI95 dah boleh disemak, ada 4 sebab anda mungkin 'terlepas' harga subsidi RM1.99

BACA LAGI: Ingatkan tak dapat subsidi BUDI95, majoriti pengguna hanya perasan perbezaan harga di resit

“Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi serta kerajaan negeri berkaitan bagi mengumpul data pemilik bot supaya golongan ini tidak tercicir daripada manfaat BUDI95,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak sehingga pukul 7 malam semalam.

“Sejumlah RM43.7 juta pembelian direkodkan dengan 21.8 juta liter RON95 dinikmati rakyat menerusi inisiatif ini. Sistem BUDI95 juga kekal stabil dalam tempoh dua hari pelaksanaan, manakala pengesahan MyKad di stesen minyak berjalan lancar,” katanya.

Beliau menambah, bermula tengah malam tadi, BUDI95 diperluaskan kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak dengan harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter untuk Oktober.

“Namun, penerima BUDI95 hanya membayar RM1.99 seliter – subsidi 61 sen.

"Berdasarkan had 300 liter, setiap individu dapat manfaat sehingga RM183 sebulan. Ini bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat terus menikmati penjimatan,” katanya.

Tunku Nashrul berkata, kerajaan MADANI menghargai sokongan rakyat terhadap dasar tersebut.

“Setiap liter membawa seribu makna. Kerajaan MADANI akan pastikan dasar ini dimantapkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram