Pernah diuji buta 3 bulan, bekas pensyarah UiTM figura di sebalik arca mercu tanda Dataran Lang Langkawi, Kesidang Mas UTeM


  • Bisnes
  • Selasa, 30 Sep 2025

Ramlan terus fokus menghasilkan arca walaupun selepas meninggalkan dunia akademik. — YAP CHEE HONG/The Star

MESKIPUN sudah bersara, Ramlan Abdullah bukanlah seorang jenis yang boleh duduk diam. Pada usia 65 tahun, bekas pensyarah seni itu masih kekal sibuk antara masanya di studio dan dengan keluarga.

“Hidup selepas bersara terbahagi kepada dua. Pertama, saya teruskan kerja sebagai artis sepenuh masa di studio sendiri.

"Kedua, saya menikmati masa sebagai seorang suami, ayah, dan datuk, menjalani kehidupan berkeluarga yang sederhana, bahagia dan penuh kasih sayang,” katanya.

BACA LAGI: Ibarat 'masuk hantu' jaga bonsai, dua sahabat dari Johor tuai rezeki 'emas hijau'

BACA LAGI: Sabak Bernam, Tanjung Karang ada dalam 'list', Selangor kenal pasti lokasi jadi hab industri ekonomi kreatif

Ramlan di studio di rumahnya yang diubah suai menggunakan wang kemenangan hadiah utama Pertandingan Arca Asia Oita di Jepun— YAP CHEE HONG/The Star

Selama lebih 30 tahun, Ramlan bijak menyeimbangkan tugas mengajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sambil terus berkarya dalam bidang seni arca pada masa lapang.

Dalam dekad terakhirnya sebagai pendidik, dia turut berdepan cabaran menjalani rutin dialisis.

“Ketika itu, pagi-pagi lagi saya di pusat dialisis, kemudian kelas (mengajar) dan malam di studio,” kenang Ramlan yang sudah 12 tahun menjalani dialisis.

Doktor menyarankan dia memulakan dialisis selepas penyakit kencing manis bertambah teruk sehingga mengalami masalah buta sementara selama tiga bulan.

“Yang menyedihkan, saya terlepas menyaksikan majlis perkahwinan anak lelaki saya.

"Bahkan saya tidak mampu berdiri dan terpaksa menggunakan kerusi roda,” ujar bapa kepada tiga teruna berusia antara 28 hingga 35 tahun itu.

Tekad untuk pulih, Ramlan patuh pada nasihat doktor, tidak pernah culas sesi dialisis dan mengamalkan diet ketat.

“Setiap kali rasa lemah, terutama ketika dialisis, saya akan fikir tentang mengajar dan menghasilkan arca. Dari situ datang semangat,” katanya.

Seni arca Mim (2007) di Shah Alam yang mencerminkan bahasa geometri. 

Kurang setahun selepas itu, dia mampu berdiri semula dengan keazaman baharu untuk terus mengajar dan berkarya.

“Akhirnya saya ada masa dan kebebasan untuk fokus kepada perjalanan peribadi sebagai artis, meneroka idea baharu, dan menolak diri lebih jauh dalam proses kreatif,” tambahnya.

Perjalanan seni Ramlan bermula pada 1978 apabila mendaftar sebagai pelajar Seni Halus di Institut Teknologi MARA (kini UiTM).

Di situlah, dia cenderung mendalami bidang arca, berbanding medium lain seperti lukisan atau cetakan.

“Saya memang tertarik kepada bentuk tiga dimensi dan suka menghasilkan objek.

“Bekerja dengan bentuk, struktur dan ruang memberi kebebasan untuk mengekspresikan diri secara lebih kreatif,” katanya.

Growth (1997) antara arca karya Ramlan yang berjaya meletakkan namanua di peringkat global. 

Selepas menamatkan diploma, beliau melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat sebelu, memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni Halus di Wartburg College, Iowa.

Dia kemudian menyambung ke School of the Art Institute of Chicago, sebelum menamatkan Ijazah Sarjana Seni Halus dalam bidang Arca di Pratt Institute, New York.

Pada tahun 1990, Ramlan kembali ke tanah air dan menyertai semula alma mater sebagai pensyarah seni arca di Fakulti Seni & Reka Bentuk UiTM, dan kekal di situ selama 35 tahun.

Ramlan menambah pencapaian akademiknya dengan segulung Ijazah Doktor Falsafah (Seni & Reka Bentuk) dari UiTM yang diterimanya pada Jun lalu.

Pendedahan kepada pendekatan kontemporari di luar negara, digabungkan dengan disiplin akademik bertahun-tahun, memberinya asas teknikal yang kukuh dalam seni tiga dimensi dan arca awam.

Senior sculptor Ramlan Abdullah. — YAP CHEE HONG/The Star

Bagi Ramlan, bekerja dengan bentuk, struktur dan ruang memberi kebebasan untuk mengekspresikan diri secara kreatif. — YAP CHEE HONG/The Star

Pengalaman itu memantapkan visinya untuk menghubungkan alam semula jadi, nilai Islam dan identiti Malaysia melalui bentuk dan struktur.

“Arca saya berasaskan bentuk geometri kerana saya melihatnya sebagai bahasa yang kuat untuk meluahkan idea.

“Ia mencerminkan corak dalam alam dan seni Islam. Dengan menggabungkan inspirasi ini, saya boleh menghasilkan karya yang abstrak, spiritual, moden namun berpaksikan jati diri Malaysia,” katanya.

Karyanya boleh dilihat di Taman KLCC dan Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Dataran Lang di Langkawi, Puteri Harbour di Johor, kampus UiTM di seluruh negara, malah di luar negara termasuk Jepun, Korea, Vietnam, Zambia dan Australia.

Antara karyanya yang paling dikenali ialah Wahdah di Taman Arca ASEAN Kuala Lumpur, Keris di Bukit Jalil dan Nexus di UiTM Shah Alam, yang diinspirasikan oleh pertumbuhan benih serta keterhubungan komuniti.

Pada tahun 1995, Ramlan mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama memenangi Hadiah Utama dalam Pertandingan Arca Asia Oita di Jepun.

“Wang kemenangan itu digunakan untuk membeli studio ini,” katanya tersenyum bangga.

Kesidang Mas di UTeM Melaka menggunakan keluli tahan karat, tembaga dan batu. 

Namun, kepuasan terbesar baginya adalah interaksi masyarakat dengan karyanya sama ada berhenti untuk menghayati atau sekadar mengambil gambar.

Selepas meninggalkan dunia akademik, Ramlan terus fokus dengan menghasilkan beberapa karya penting.

Dua tahun lalu, dia menyiapkan Kesidang Mas di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sebuah jam matahari di Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) Perak dan Waktu di Tanjung Malim.

Tahun lalu, beliau memperkenalkan Movement In Stillness – Dedaun, sebuah instalasi besar di Muzium Negeri Pulau Pinang.

Ternyata persaraan tidak memperlahankan rentaknya bahkan Ramlan kekal sibuk di studio dengan pelbagai projek termasuk tempahan arca baharu.

Matlamatnya bukan sekadar berkarya, tetapi untuk kekal relevan sebagai artis yang terus bersuara kepada budaya dan komunitinya. — The Star / ZALINA MOHD SOM

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram