
KERAJAAN menetapkan harga RON95 tanpa subsidi pada kadar RM2.60 seliter sebagai harga permulaan yang akan dikekalkan selama sebulan bagi memberi ruang kepada pengguna menyesuaikan diri.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, selepas tempoh itu harga petrol tanpa subsidi akan disemak secara mingguan mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM), sama seperti pelaksanaan harga diesel.
“Selepas sebulan, harga akan berubah setiap minggu berdasarkan pasaran global. Jika harga minyak dunia naik, ia akan naik dan jika turun, harga di sini juga akan turun,” jelasnya.
BACA LAGI: Masih keliru antara BUDI95-MySARA, petugas stesen minyak tenangkan wanita panik, belum masuk gaji
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan BUDI95 setakat ini berjalan lancar.
Beliau berkata, hampir 1.5 juta pengguna sudah menikmatinya sejak ia dibuka terlebih dulu khas buat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu lalu sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pada Ahad.
Bagi melindungi kesejahteraan rakyat, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter.
Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
Penjimatan itu akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Semua warga negara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram