Hampir 150,000 penerima BUDI95 belum kemas kini 12 digit nombor MyKad pada lesen, masih pakai sijil lahir, IC lama


  • Bisnes
  • Selasa, 30 Sep 2025

Meskipun layak menerima BUDI95, sebahagian pemegang lesen tidak dapat disahkan kerana isu maklumat pengenalan diri. — Gambar hiasan / RONNIE CHIN/The Star

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan kira-kira 0.88 peratus daripada hampir 17 juta penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) masih belum mengemaskini maklumat Lesen Memandu Malaysia (LMM) mereka.

Jumlah itu kira-kira 150,000 orang berdasarkan semakan pangkalan data JPJ terhadap warganegara Malaysia yang memiliki status LMM sah, aktif dan berkuat kuasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, meskipun layak menerima subsidi petrol bersasar itu, sebahagian pemegang lesen tidak dapat disahkan kerana isu maklumat pengenalan diri berikutan tiada kemas kini MyKad baharu dengan 12 digit nombor.

BACA LAGI: Berderet masuk 'secure2u', wanita terkejut transaksi kad kredit lebih RM3,000, kecewa RM100 dah lesap kena kebas scammer

BACA LAGI: Masih keliru antara BUDI95-MySARA, petugas stesen minyak tenangkan wanita panik, belum masuk gaji

Anthony Loke menunjukkan 12 digit nombor MyKad pada lesen memandu. — Bernama

“Beberapa kategori pemegang lesen masih belum mengemas kini nombor MyKad 12 digit pada lesen memandu mereka.

"Ini termasuk mereka yang menggunakan nombor kad pengenalan lama, nombor sijil kelahiran, serta anggota polis dan tentera yang belum menukar kepada nombor awam selepas bersara,” katanya.

Berikut situasi yang diberikan MOT:

1. Pemegang LMM menggunakan dokumen lama seperti nombor kad pengenalan lama, Sijil Kelahiran Malaysia (SKM) dan nombor pengenalan diri tentera atau polis.

2. Pemegang Lesen Memandu Pasukan (dikeluarkan oleh ATM dan PDRM) yang masih belum membuat pertukaran kepada LMM.

3. Kesilapan nombor kad pengenalan atau isu teknikal lain yang menimbulkan ‘red-flag’ untuk semakan lanjut. 

Anthony berkata, semua warganegara Malaysia yang sah sepertimana di dalam kategori di atas boleh datang ke mana-mana pejabat atau kaunter JPJ bagi membuat permohonan pengemaskinian data LMM.

"Kami menggesa mereka dalam kategori terbabit untuk segera mengemas kini lesen memandu masing-masing dengan nombor MyKad 12 digit kerana jika masih didaftarkan menggunakan nombor lama, sistem tidak dapat mengesannya.

“Bagi menangani isu ini, JPJ akan membuka kaunter khas bagi membolehkan mereka mengemas kini nombor MyKad 12 digit secara percuma, namun pemilik perlu hadir sendiri untuk kemas kini cap jari,” katanya pada Selasa.

Data yang dikemas kini akan dikemukakan kepada MOF bagi tujuan pengesahan dengan JPN.

Sekiranya tiada sebarang isu berbangkit atau 'red-flag', maklumat individu tersebut akan terus dikemas kini dalam sistem BUDI95.

Dalam pada itu, MOT turut menyeru pesara tentera dan polis yang masih menggunakan Lesen Memandu Pasukan supaya segera menukar kepada LMM.

Langkah itu penting agar mereka tidak tercicir daripada menikmati inisiatif subsidi petrol RON95 yang diberikan kerajaan. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram