Sabak Bernam, Tanjung Karang ada dalam 'list', Selangor kenal pasti lokasi jadi hab industri ekonomi kreatif


  • Bisnes
  • Selasa, 23 Sep 2025

Lokasi hab industri ekonomi kreatif tak hanya tertumpu kepada kawasan-kawasan membangun sahaja sebaliknya turut meliputi luar bandar seperti daerah Kuala Selangor yang sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri. — Gambar hiasan

SELANGOR menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif akan mengenal pasti beberapa kawasan tertentu untuk dibangunkan sebagai hab industri ekonomi jingga atau ekonomi kreatif.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, lokasi terbabit akan diteliti mengikut kekuatan serta keunikan yang dimiliki.

"Sebagai contoh, jika kita lihat di Sabak Bernam, mereka mempunyai kelebihan tersendiri dalam sektor ekonomi kreatif. Di Kuala Selangor pula ada satu pusat pembuatan wau kapal.  

BACA LAGI: Selangor sasar sumbangan KDNK RM20 bilion menjelang 2035 menerusi ekonomi jingga

BACA LAGI: Kerjasama SAY - MATRADE perkasa usahawan belia Selangor, bantu tembusi pasaran antarabangsa

Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ketika merasmikan SCEE 2025 di Pusat Konvesyen MBSA pada Selasa. — SHAHRIL /The Star

"Di situ, masyarakat setempat bukan sahaja menghasilkan wau, tetapi juga mengajar cara untuk menerbangkannya. Selama ini, kita sering kaitkan wau dengan Kelantan, tetapi rupanya Selangor juga memiliki identiti unik dalam permainan tradisi ini.

"Alhamdulillah, sempena Tahun Melawat Selangor, kita berjaya mengetengahkan produk-produk kebudayaan tempatan seperti ini bagi mengangkat warisan dan budaya negeri kita ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri Selangor berkata, di Petaling Jaya pula, kekuatannya lebih kepada gastronomi, makanan dan budaya kafe.

"Malah, kita tahu Petaling Jaya memang terkenal dengan coffee culture, yang juga sebenarnya merupakan salah satu segmen penting dalam ekonomi kreatif.

"Begitu juga di Shah Alam, di mana hampir di setiap seksyen kita boleh lihat kewujudan kafe hipster. Fenomena ini membuktikan wujudnya komuniti dan ekosistem yang boleh kita sokong serta kembangkan lagi," katanya.

Oleh itu, Mohd Najwan berkata, langkah seterusnya adalah untuk mengenal pasti kawasan-kawasan di Selangor berdasarkan kekuatan dan keunikan masing-masing, sebelum ditransformasikan menjadi ruang untuk anak muda dan pemain industri berkarya serta memanfaatkan potensi sedia ada.

"Kita juga tidak semestinya perlu membina fasiliti baharu. Sebagai contoh, di Subang Jaya terdapat banyak kemudahan atau kawasan yang kurang digunakan secara optimum.

"Dengan sedikit penambahbaikan atau naik taraf, ia boleh dijadikan ruang untuk aktiviti kreatif sama ada sebagai platform untuk pertunjukan, pameran karya atau penghasilan produk baharu.

"Saya sendiri akan berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan PJ, termasuk juga Datuk Bandar Subang Jaya, untuk melihat bagaimana kita boleh memperluaskan lagi prospek hab kreatif di kawasan-kawasan ini," katanya.

Menurutnya, lokasi hab industri ekonomi kreatif itu tidak hanya tertumpu kepada kawasan-kawasan membangun sahaja sebaliknya turut meliputi luar bandar.

"Kita juga beri perhatian kepada daerah-daerah di luar bandar terutama di sebelah Utara Selangor seperti Tanjung Karang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor yang sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri.

"Semua ini sudah pun terkandung dalam perancangan kita. Namun, untuk memastikan kejayaan, kita perlukan sokongan dan kepercayaan semua pihak agar inisiatif ini benar-benar dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri," katanya.

Terdahulu, Mohd Najwan hadir sesi townhall pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif dan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE 2025) di Pusat Konvesyen MBSA pada Selasa.

Majlis itu dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram