
SEKURANG-KURANGNYA satu daripada 10 pelabur runcit kini menggunakan chatbot untuk memilih saham sekali gus menyemarakkan pasaran 'robo advisor' atau robo penasihat.
Di sebalik itu, mereka tetap mengingatkan bahawa ia masih berisiko tinggi dan belum mampu menggantikan penasihat tradisional sepenuhnya.
Hasil kecerdasan buatan (AI) membolehkan sesiapa sahaja memilih saham, memantau prestasi serta mendapatkan analisis pelaburan yang sebelum ini hanya tersedia untuk institusi perbankan.
RIA ialah penasihat pelaburan robo (robo-investment advisor) yang ditawarkan oleh ASNB. — Gambar hiasan
Pasaran robo penasihat yang menawarkan nasihat kewangan automatik berasaskan algoritma dijangka berkembang daripada AS$61.75 bilion tahun lalu kepada AS$470.91 bilion pada 2029, peningkatan hampir 600 peratus, menurut firma analisis Research and Markets.
Jeremy Leung, yang berpengalaman 20 tahun sebagai penganalisis kewangan di UBS Switzerland berkata, dia mula menggunakan ChatGPT untuk mengurus portfolio pelbagai aset selepas kehilangan kerja di bank tersebut, awal tahun ini.
“Saya tidak lagi boleh mengakses Bloomberg atau servis data pasaran lain yang sangat mahal. Namun ChatGPT versi asas boleh membantu meniru banyak aliran kerja yang biasa dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, Leung mengingatkan model AI berkenaan tidak mampu mengakses data di sebalik 'paywall', justeru ada analisis penting yang boleh terlepas.
Menurut tinjauan broker eToro yang melibatkan 11,000 pelabur runcit di seluruh dunia, kira-kira separuh responden berkata, mereka sanggup menggunakan alat AI seperti ChatGPT atau Gemini untuk memilih atau mengubah portfolio pelaburan.
Di United Kingdom, 40 peratus responden kaji selidik syarikat perbandingan Finder mengaku pernah menggunakan chatbot atau AI untuk nasihat kewangan peribadi.
Di Malaysia pula, terdapat juga pelabur yang turut menggunakan ChatGPT bagi mendapatkan idea awal sebelum membuat pelaburan di platform Robo Investment ASNB (RIA ASNB).
Walaupun keputusan akhir masih dilakukan dalam ekosistem ASNB, ChatGPT dijadikan sebagai rujukan pantas untuk menilai prospek sektor atau syarikat tersenarai.
Ini kerana ChatGPT boleh membantu menapis maklumat, contohnya sektor mana yang sedang berkembang sebelum pelabur sendiri membuat keputusan memasukkan dana ke dalam RIA ASNB.
ChatGPT sendiri bagaimanapun memberi amaran agar tidak dijadikan rujukan tunggal untuk nasihat kewangan profesional, malah OpenAI tidak pernah mendedahkan jumlah sebenar pengguna yang memilih saham melalui platform itu.
Pengarah Urusan UK di eToro yang mempunyai 30 juta pengguna global, Dan Moczulski menasihatkan pelabur menggunakan platform AI yang khusus dilatih untuk menganalisis pasaran.
Ini kerana model AI umum boleh tersalah angka, data dan tarikh, kerana terlalu bergantung pada naratif sedia ada, atau menggunakan pola harga lama untuk meramal masa depan.
Menurut Leung, cara mendapatkan jawapan lebih baik adalah dengan memberikan konteks jelas dalam arahan (prompt).
Guna ayat seperti “Andaikan anda seorang penganalisis, apakah hujah untuk menjual saham ini?” atau “Guna hanya sumber sahih seperti pemfailan SEC”.
Keterujaan terhadap ChatGPT juga menimbulkan persoalan sama ada pelabur runcit benar-benar menggunakan alat pengurusan risiko bagi mengurangkan potensi kerugian ketika pasaran berdepan ketidaktentuan.
Setakat tahun ini, indeks pan-Eropah STOXX 600 meningkat hampir 10 peratus manakala S&P 500 pula menambah 13 peratus selepas melonjak 23 peratus tahun lalu.
“Kalau orang semakin selesa melabur menggunakan AI dan sedang merasai keuntungan, mereka mungkin hilang kawalan apabila berlaku krisis atau kemerosotan pasaran,” kata Leung. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram