Bukan setakat kereta, BUDI95 boleh guna beli minyak bot memancing, jentera kecil pertanian


  • Bisnes
  • Khamis, 25 Sep 2025

BUDI95 boleh dimanfaatkan untuk kegunaan selain kenderaan termasuk isian petrol bot memancing. — Gambar hiasan

RAMAI yang mula menyemak kelayakan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada Khamis untuk kenderaan masing-masing bagi menikmati subsidi petrol pada harga lebih rendah iaitu RM1.99.

Tidak terhad kepada kenderaan persendirian, mekanisme pelaksanaan BUDI95 juga meliputi kegunaan lain termasuk untuk isian minyak bot memancing.

Genset atau generator yang memerlukan petrol juga boleh dibeli dengan BUDI95, namun ada syaratnya.

BACA LAGI:  Isu integrasi data, wanita kongsi MyKad bapa dah meninggal dunia layak subsidi, pemegang lesen CDL pula tak lulus BUDI95

BACA LAGI: Kelayakan BUDI95 dah boleh disemak, ada 4 sebab anda mungkin 'terlepas' harga subsidi RM1.99

Mesin rumput yang menggunakan petrol untuk menghidupkannya boleh dimanfaatkan dengan BUDI95. — Gambar hiasan

Ia juga terpakai bagi kegunaan jentera pertanian kecil seperti mesin rumput, gergaji rantai, penyembur racun dan penjana elektrik yang menggunakan petrol.

Pengguna memerlukan permit khas daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

Menurut Kementerian Kewangan menerusi FAQ BUDI95, pada masa ini, pengguna dibenarkan membeli sehingga 20 liter petrol tanpa perlu membawa kenderaan. 

Kumpulan yang telah memohon permit khas daripada KPDN pula boleh membeli lebih banyak bagi tujuan bukan kenderaan, seperti kegunaan pertanian.

"Sehubungan itu, proses ini kekal sama di mana mereka yang layak menggunakan MyKad boleh mendapatkan harga bersubsidi dan seterusnya membeli sama ada sehingga 20 liter sehari atau dengan permit khas, mengikut keperluan masing-masing," katanya.

Jumlah 300 liter yang diperuntukkan oleh kerajaan telah mengambil kira kegunaan bukan kenderaan bagi kumpulan seperti petani, peladang dan perniagaan kecil lain.

Peralihan dari subsidi pukal kepada subsidi bersasar berkuat kuasa sepenuhnya mulai 30 September 2025.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595 mulai pukul 9 pagi. 

Layari www.budimadani.gov.my untuk butiran terperinci. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram