
SEORANG juruwang stesen minyak berkongsi pengalaman lucu bercampur geram apabila berdepan situasi segelintir pelanggan yang masih keliru mengenai pelaksanaan subsidi petrol bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Berkongsi pengalaman itu di Threads, @bobman12_ berkata, dia didatangi seorang pelanggan wanita di kaunter stesen minyak yang mahu membuat tuntutan BUDI95.
Dia bertanya kepada wanita terbabit terlebih dahulu jumlah isian minyak yang dikehendaki.
Pelanggan tadi yang mahu mengisi petrol berjumlah RM50 tiba-tiba terkejut apabila ditanya mahu membayar menggunakan tunai atau e-Wallet.
“Wanita itu tanya saya balik, ‘bukan ke dia tolak daripada MyKad sekali?’
“Apabila saya jelaskan kena bayar seperti biasa, dia terus kata tak jadi nak isi sebab belum gaji lagi,” cerita juruwang itu sambil meluahkan rasa penat kerana perlu menjelaskan perkara sama berulang kali.
Jelasnya, dia kesal kerana ramai pengguna masih salah faham bahawa subsidi petrol bersasar itu kononnya pemberian 300 liter minyak percuma setiap bulan.
Sedangkan hakikatnya subsidi bermaksud kerajaan menampung sebahagian harga pasaran agar pengguna dapat membeli petrol pada harga rendah.
Ini lain kisahnya apabila ada pelanggan menyamakan subsidi minyak ini dengan skim bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang menyalurkan bantuan tunai secara terus kepada penerima melalui MyKad masing-masing.
“Saya yang jadi mangsa dimarahi, seolah-olah saya tak pandai proses tuntutan. Sedangkan sistem memang begitu dan subsidi bukan bermaksud percuma,” ujarnya.
Situasi tersebut mencerminkan masih wujud kekeliruan masyarakat mengenai dasar subsidi minyak bersasar yang mula dilaksanakan kerajaan dan perlunya penjelasan yang lebih meluas agar rakyat benar-benar faham perbezaannya.
"Macam mana pula orang boleh anggap dapat free 300 liter. Ini mesti sebab dah biasa dapat MyKasih," komen @shin.iskandar.
"Dia ingat BUDI95 tu macam MySARA kot," ujar @fadz.lina.
Peralihan dari subsidi pukal kepada subsidi bersasar berkuat kuasa sepenuhnya mulai 30 September 2025.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595 mulai pukul 9 pagi.
Layari www.budimadani.gov.my untuk butiran terperinci. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram