
ORANG ramai diberi jaminan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang bermula pada 27 September tidak akan menjejaskan bekalan minyak atau transaksi di stesen minyak, walaupun dijangka permintaan akan meningkat.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pengusaha stesen minyak di seluruh negara sudah bersedia dengan pelan sokongan bagi mengurangkan gangguan dan memastikan orang ramai dapat menikmati harga subsidi RM1.99 seliter.
“Pengusaha stesen minyak sudah mempunyai pelan kesinambungan perniagaan bagi memastikan pelaksanaan subsidi berjalan lancar walaupun sistem transaksi menghadapi gangguan.
"Kami tidak mahu membebankan orang ramai dan mahu memastikan mereka masih dapat menikmati harga RM1.99.
"Dengan persiapan yang dilakukan, diharap semuanya berjalan lancar pada 27 September,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya bersabar sekiranya berlaku sebarang kelewatan atau gangguan dan memberi jaminan pengusaha stesen minyak akan berusaha memastikan subsidi dapat dinikmati oleh semua.
Rakyat Malaysia yang layak boleh membeli RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebelum ini. — Gambar hiasan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pada Isnin (22 September) penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 sebelum ini, berkuat kuasa di bawah program BUDI95.
Kementerian Kewangan memaklumkan sistem BUDI95 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan 300,000 anggota tentera dan polis pada 27 September, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September dan akhirnya kepada 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu sah pada 30 September.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Fakulti Perniagaan Uni KL, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan inisiatif BUDI95 sebagai langkah berani kerajaan yang menunjukkan keberanian politik dalam melaksanakan dasar yang sudah lama tertangguh.
“Langkah ini bukan mudah, tetapi Kerajaan Madani mengambil tindakan berani kerana jumlah subsidi yang terus meningkat,” katanya.
Tambahnya lagi, kejayaan rasionalisasi subsidi tersebut boleh membawa penjimatan besar kepada negara yang kemudiannya boleh disalurkan semula kepada rakyat melalui sektor kritikal seperti kesihatan.
Dr. Aimi Zulhazmi juga menegaskan pentingnya kesinambungan dasar bagi memastikan impak yang berpanjangan dan menggesa kerajaan supaya memperbaiki mekanisme pelaksanaan berdasarkan maklum balas daripada orang ramai dan pengusaha stesen minyak. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram