Isu integrasi data, wanita kongsi MyKad bapa dah meninggal dunia layak subsidi, pemegang lesen CDL pula tak lulus BUDI95


  • Bisnes
  • Khamis, 25 Sep 2025

Perkongsian Anis mengenai status semakan kelayakan subsidi BUDI95 di Threads. — @ann_adeline

PENDEDAHAN seorang pengguna Threads bahawa MyKad milik bapanya yang sudah meninggal dunia namun layak untuk menerima subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menimbulkan perbincangan di media sosial.

Perkongsian Lim Ee Van pada Khamis di Threads itu memaklumkan bahawa semakan MyKad bapanya mendapati mendiang layak menerima subsidi petrol pada harga RM1.99 seperti yang diumukan kerajaan baru-baru ini.

Kata Ee Van menerusi akaun @im_tristupe, ia berkemungkinan disebabkan oleh lesen memandu mendiang ayahnya masih sah dipercayai kerana diperbaharui untuk tempoh maksimum lima tahun.

BACA LAGI: Kelayakan BUDI95 dah boleh disemak, ada 4 sebab anda mungkin 'terlepas' harga subsidi RM1.99

BACA LAGI: Panduan lengkap guna aplikasi isi minyak, e-wallet beli petrol subsidi Budi Madani RON95

Pelarasan subsidi RON95 bertujuan memastikan penjimatan tidak lagi dinikmati pihak yang tidak layak, termasuk kes penyeludupan petrol bersubsidi ke luar negara. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Perkongsian Ee Van di Threads. — @im_tristupe

"Dia (ayah) selalu perbaharui lesen untuk tempoh maksimum, mungkin tempoh lima tahun dan ayah meninggal tiga tahun lepas," katanya.

Bagaimanapun, Ee Van berkata, kelompongan itu ditutup selepas waris menyerahkan MyKad kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tujuan pendaftaran kematian dan pengeluaran sijil mati.

Cuma apa yang ingin dibangkitkan adalah mengenai penyelarasan data antara JPN dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Sistem menunjukkan MyKad mendiang masih layak BUDI95 kerana rekod lesen belum tamat. Ini menunjukkan data JPN dan JPJ tidak seragam,” tulisnya.

Tambah Ee Van, subsidi tersebut bagaimanapun tidak boleh digunakan untuk pembelian petrol minggu depan kerana transaksi memerlukan MyKad di kaunter atau pengesahan eKYC melalui aplikasi seperti Touch ’n Go dan Setel.

Dalam situasi berbeza, seorang pengguna Threads dikenali Anis pula menghadapi masalah berbeza apabila dia berkongsi tidak layak menerima subsidi BUDI95 atas alasan tiada lesen sedangkan dia memiliki lesen memandu kompeten (CDL).

"Tak layak sebab tak ada lesen. Habis kat MyJPJ Apps tu apa? Hantu? Berpuluh-puluh tahun dah (ada lesen memandu) dah satu hal nak ke JPJ nanti," katanya.

Menerusi akaun @ann_adeline, Anis berkongsi tangkap layar semakan kelayakan dengan paparan berbunyi - 'Anda tidak dapat dipertimbangkan untuk manfaat BUDI95 atas sebab berikut:'

Keterangan - Tiada dalam senarai pemegang MyKad dengan lesen memandu aktif kereta atau motor berdasarkan rekod JPJ.

Tindakan susulan - Mohon untuk hadir ke JPJ berdekatan untuk tujuan semakan lanjut atau kemas kini maklumat.

Kedua-dua isu yang dibangkitkan mencetuskan perbincangan mengenai keperluan kerajaan memperkemas integrasi data antara agensi terlibat.

Ini penting bagi mengelakkan sebarang ketirisan dalam pelaksanaan subsidi BUDI95.

Semakan kelayakan BUDI95 boleh dibuat pada Khamis di www.budimadani.gov.my. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram